Ops Libas: Kanak-kanak antara 31 PATI diberkas di Miri
MIRI: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin ( PATI) termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditahan dalam Ops Libas yang dilaksanakan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Imigresen Malaysia ( JIM) Miri di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 12 Superintenden Tan Hiap Seng ketika mengesahkan penangkapan tersebut dalam kenyataan medianya di sini semalam memberitahu, tangkapan dibuat dalam dua serbuan di lokasi berasingan.
Serbuan dilakukan di sebuah tapak pembinaan perumahan di Senadin dan tapak pencawang elektrik di Tudan bermula jam 9.30 pagi kelmarin, di mana 54 pekerja warga asing, kesemuanya Indonesia, diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 31 ditahan, terdiri daripada 24 lelaki dan tujuh perempuan termasuk seorang kanakkanak berusia lima tahun.
“Kesemua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/ 63 ( Akta 155) dan Perkara 39( b) PeraturanPeraturan Imigresen,” katanya di sini, semalam.
Berikutan penahanan itu, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Lutong dengan 10 ditahan di bawah Seksyen 15 kerana didapati tinggal melebihi tempoh dan 12 lagi ditahan di bawah Seksyen 6( 1)( c) akta yang sama kerana memasuki negeri ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Sementara sembilan yang lain ditahan di bawah Perkara 39( b) Peraturan- Peraturan Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.
Turut ditangkap seorang lelaki berusia 27 tahun dari Klang, Selangor yang dipercayai majikan di tapak projek pembinaan pencawang berkenaan.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Depot Imigresen Bekenu dan kes tersebut diserahkan kepada JIM Miri untuk siasatan lanjut.
Menurut Tan, Ops Libas merupakan operasi bersepadu bersama JIM Miri yang diadakan dari semasa ke semasa bagi membanteras kemasukan PATI ke sini.
“Untuk penugasan ini semalam (kelmarin), kekuatan PGA Batalion 12 terdiri daripada dua pegawai dan 39 anggota yang diketuai Pegawai Risik Inspektor Rizuan Makladin, manakala JIM Miri disertai dua pegawai dan lapan anggota,” katanya lagi.