Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota RELA rosakkan mesin ATM disingkir daripada RELA

-

SIBU: Anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) yang bertindak merosakkan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Pahlawan baru-baru ini, telah diambil tindakan disiplin.

Pegawai RELA Daerah Sibu Awis Adenan berkata, anggota terbabit telah ditarik balik kad keahlianny­a dan dibuang daripada pasukan RELA.

“Anggota terbabit telah diambil tindakan disiplin.

“Kita telah tarik balik kad dan buang dia daripada keahlian RELA sebab mencemarka­n nama pasukan,” ujarnya ketika Majlis Pelancaran Program Rondaan Keselamata­n RELA Kawasan Bawang Assan di Pusat Khidmat Komuniti RELA (PKKR) Kawasan Jalan Bawang Assan-Tanjung Manis, malam kelmarin.

Majlis pelancaran disempurna­kan Pengerusi Rancangan Sibu Pertama (RS1) merangkap Ketua Perhubunga­n RELA Kawasan (KPRK) Sibu Datuk Andrew Wong.

Dalam kejadian 6 Januari lepas, anggota RELA terbabit bertindak merosakkan mesin ATM dengan menggunaka­n tong sampah selepas gagal mengeluark­an wang tunai dari mesin terbabit.

Anggota berusia 44 tahun itu yang juga peniaga, kelihatan mabuk dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian jam 11.40 malam itu.

Dalam pada itu, Awis mengingatk­an anggota RELA agar tidak menyalah guna kuasa apabila melakukan rondaan keselamata­n.

“Anggota yang bertugas juga dilarang meminum minuman keras.

“Jika mahu minum, tunggu apabila tidak bertugas,” tegasnya sambil menyeru semua KPRK kawasan agar memantau anggota masing-masing.

Menurut beliau, RELA Sibu mempunyai 28,665 anggota dan berikutan jumlah itu, sukar untuk beliau memantau semua ahli.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia