Kaji peraturan pemberian notis tujuh hari sebelum hadiri mesyuarat MBM
MIRI: Parti Tindakan Demokratik ( DAP) akan mengemukakan peraturan baharu kepada badan kehakiman bagi menggantikan peraturan Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang mewajibkan pemberian notis tujuh hari sebelum menghadiri mesyuaratnya.
Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong berkata, tindakan itu adalah berat sebelah dan tidak adil kepada orang awam terutama parti lawan yang mahu mengikuti mesyuarat.
Alan berkata, mesyuarat harus telus dan terbuka kepada orang awam sebagaimana ditetapkan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996, Seksyen 21 (6).
“Di bawah ordinan berkenaan, tiada peraturan yang mewajibkan orang awam mengemukakan notis tujuh hari sebelum menghadiri mesyuarat.
“DAP akan mengkaji kes ini memandangkan ia pertama kali dilaksanakan majlis bandar raya tempatan dan pelaksanaan tidak mengikut peraturan yang sewajarnya,” katanya semasa sidang media di pejabat DAP Miri.
Alan menambah, datuk bandar Miri sebelum ini tidak pernah meletakkan peraturan seumpama itu, justeru peraturan baharu itu seolah-olah sengaja menyasarkan pihak pembangkang yang mahu menghadiri mesyuarat.
“Peraturan ini cuba untuk menghalang orang awam termasuk pembangkang untuk menghadiri mesyuarat dan mendengar keputusan yang dibuat semasa mesyuarat penuh MBM,” katanya sambil menambah, antara sebab notis diperlukan ialah bagi membolehkan persiapan termasuk kerusi dan hidangan disediakan.
Alan berkata, alasan itu tidak munasabah kerana mereka datang bukan untuk minum dan makan sebaliknya mahu tahu perkembangan dan pelaksanaan projek di bawah MBM.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon menyarankan agar kerajaan tempatan memastikan kontraktor tidak melanggar peraturan pekerjaan sebelum memberi tender.
Belia berkata, berdasarkan temu bual dengan pekerja di bawah kontraktor MBM, mereka dibayar gaji harian antara RM31 hingga RM33 untuk yang bekerja sebagai tukang cuci, manakala sekuriti RM25 sehari dan mereka bekerja selama 12 jam sehari.
“Kerajaan bertanggungjawab memastikan ratusan pekerja di bawah kontraktor yang dilantik dibayar mengikut peraturan yang sewajarnya.
“Minimum gaji untuk Sabah dan Sarawak sebulan ialah RM920 dan gaji harian ialah antara RM35 hingga RM38,” kata Ting.