Kenyataan Hadi bertentangan latar belakang Malaysia, Perlembagaan Persekutuan
MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak ( SUPP) terkejut dengan kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan menteri atau ahli kabinet bukan Islam tidak layak membuat dasar negara, sebaliknya kuasa mereka terhad dalam pengurusan.
Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting berkata, kenyataan ini bertentangan dengan latar belakang Malaysia sebagai negara majmuk yang berbilang kaum dan Perlembagan Persekutuan.
“Kenyataan ini menggugat dan pendirian itu tidak menggambarkan pendapat secara umum majoriti rakyat negara ini,” kata Sebastian mengulas kenyataan Hadi.
Pada 22 Disember lalu, Hadi dalam ruangan Kolumnis HarakahDaily menyatakan, dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep.
Memetik ulama fekah politik Islam, antaranya Al-Mawardi, Hadi berkata, menteri atau ahli kabinet bukan Islam masih dapat melaksanakan jawatan pengurusan, namun bukan membuat dasar negara.
Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Piasau berkata, sistem pentadbiran Malaysia begitu jelas bermodelkan sistem parlimen Westminster, peninggalan penjajahan British.
Katanya Perlembagaan Persekutuan sebelum ini menyediakan sistem adil dan saksama yang membolehkan semua Ahli Parlimen kabinet membuat polisi dan beliau percaya sistem ini berfungsi dengan baik.
“Pandangan Hadi ini pelik dan tidak menzahirkan era abad ke-21 dan realiti negara sekular serta Malaysia sebagai negara harmoni berbilang kaum.
“Beliau menggambarkan seseorang yang bergerak mundur ke belakang, bukan ke hadapan,” tambahnya.
“Kita selalu mengasingkan isu agama daripada politik dan ini adalah keunikan dan keindahan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
“Kita tidak benarkan campur aduk agama dan politik, sebaliknya teruskan sikap saling menghormati,” kata Sebastian.