KOMPLEKS SUKAN LENGKAP DIRANCANG •
Kerajaan akan kenal pasti beberapa arena sukan boleh dibangun bagi lonjak prestasi atlet Sarawak
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri akan mengenal pasti beberapa arena sukan yang boleh dibangunkan sebagai usaha melonjakkan lagi prestasi atlet Sarawak.
Untuk itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerajaan negeri bercadang membina sebuah kompleks sukan lengkap berhampiran Stadium Negeri, Petra Jaya.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke- 11 ( RMK11), kita akan mengenal pasti beberapa arena sukan yang boleh dibangunkan untuk mendapatkan keadaan lebih baik bagi atlet kita.
“Saya melihat masih ada ruang di tanah kerajaan berhampiran Stadium Negeri dan kita akan membangunkan kawasan ini sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai prasarana sukan.
“Dengan adanya prasarana sukan berkualiti dapat memberi peluang kepada Sarawak menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa selain meningkatkan lagi prestasi atlet kita,” katanya ketika berucap menerusi rakaman video pada Majlis Penghargaan Atlet-Atlet Srawak anjuran Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) di sebuah hotel di sini kelmarin.
Abang Johari turut memuji kejayaan atlet Sarawak pada temasya Sukan SEA KL 2017 dan Sukan Para ASEAN KL 2017 yang berakhir barubaru ini.
Jelasnya, kejayaan atlet Sarawak memenangi pingat dalam dua temasya antarabangsa itu memperlihatkan peningkatan prestasi atlet negeri dalam kejohanan kompetitif.
“Saya juga melihat rekod baharu dipecahkan oleh atlet dari Sarawak…ini memberi bayangan bahawa atlet kita mempunyai masa depan yang cerah.
“Kerana itu, kerajaan akan menunaikan tanggungjawab untuk menyediakan fasiliti bertaraf dunia bagi kita meneruskan usaha melahirkan atlet bertaraf dunia dan bermutu,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap pemberian insentif daripada kerajaan negeri dapat menyuntik semangat atlet Sarawak agar terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar.
Seramai 24 atlet Sukan SEA dan 27 atlet Para ASEAN Sarawak yang memenangi pingat menerima habuan berjumlah keseluruhan RM557,000.
Pemenang emas meraih RM10,000 setiap pingat, RM7,000 bagi setiap perak dan RM5,000 bagi gangsa.
Perenang negara, Welson Sim Wee Sheng mengetuai senarai penerima insentif terbanyak berjumlah RM32,000 selepas merangkul dua emas, satu perak dan satu gangsa.
Beliau bagaimanapun tidak hadir kerana turut menerima anugerah khas pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Kuala Lumpur kelmarin.
Perenang OKU, Mohd Adib Iqbal Abdullah muncul penerima insentif kedua terbanyak berjumlah RM29,000 hasil kutipan dua perak dan tiga gangsa.
Manakala rakan Adib, Anderson Jamba meraih insentif ketiga terbanyak berjumlah RM27,000 hasil kutipan dua emas dan satu perak.
Kutipan dua emas membolehkan penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg membawa pulang RM20,000.
Penerima lain termasuk atlet wushu, Loh Jack Chang yang turut menggondol RM20,000 dengan memenangi dua emas.
Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan difdif kenamaan.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kita akan mengenal pasti beberapa arena sukan yang boleh dibangunkan untuk mendapatkan keadaan lebih baik bagi atlet kita. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri