Toyota Motor berjaya kumpul RM406,000 daripada Konsert Orkestra Toyota Classic
KUCHING: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) berjaya mengumpulkan sejumlah RM406,000 hasil daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Konsert Orkestra Toyota Classics di Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan media Toyota Motor kutipan adalah melebihi sasaran dan ia akan diserahkan kepada penerimanya iaitu Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Muzik, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).
“Kedua-dua organisasi ini akan menerima jumlah yang sama hasil kutipan daripada pembeli tiket dan penderma daripada syarikat tempatan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, Jabatan Muzik UPM diwujudkan bertujuan memperkasakan belia dengan meningkatkan kemahiran kognitif mereka sekali gus meningkatkan kesihatan emosi, sosial dan mental melalui aktiviti dan prestasi berasaskan muzik.
“Sementara penerima lain iaitu PEKA merupakan organisasi perlindungan alam sekitar yang akan menganjurkan ‘Save Our Rain Forest Race’ sebagai usaha mewujudkan kesedaran dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi,” katanya.
Menurutnya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meraikan acara tahunan Toyota Classics yang dipersembahkan Royal Philharmonic Concert Orchestra.
“Hadir sama menyaksikan konsert di Dewan Filharmonik Petronas itu ialah tetamu kehormat dari luar negara seperti Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Pesuruhjaya Tinggi Britain Victoria Marguerite Treadell dan ratusan peminat yang meminati muzik klasik.
Kehadiran mereka turut disertai Pengerusi UMW Toyota Tan Sri Datuk Seri Hamad Kama Piah Che Othman, Penasihat Eksekutif Kanan Toyota Motor Asia Pasifik Motonobu Takemoto, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Akio Takeyama, pihak pengurusan Toyota dari pejabat serantau dan ahli pengurusan tempatan,” katanya.
Ujarnya, kumpulan Royal Philharmonic Concert Orchestra dipimpin oleh konduktor yang memenangi anugerah Oscar, Anthony Weeden sementara pemain violin solonya, David Juritz.
“Kumpulan orkestra ini sememangnya terkenal dengan pengaturcaraan inovatif muzik klasik yang dipersembahkan di enam bandar raya Asia.
“Malaysia merupakan destinasi kelima selepas Brunei Darussalam dengan Vietnam sebagai destinasi terakhir mereka,” katanya.
Tambah kenyataan media itu, Toyota Classics merupakan acara amal muzik yang diadakan setiap tahun oleh UMW Toyata Motor dan Toyota Motor Asia Pacific di Malaysia.
“Objektif utamanya adalah mengumpulkan dana untuk badan amal dan organisasi yang layak dan ia telah memberi manfaat kepada 65 badan amal dan projek kemasyarakatan yang layak setakat ini,” jelasnya.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Akio Takeyama berkata, sejajar dengan tema ‘Music that Moves Lives’, Toyota Motor Corporation akan terus membawa muzik klasik menerusi penganjuran Toyota Classic.
Mengulas mengenai program CSR itu, Presiden UMW Toyota Ravindran K. berkata, nilai teras CSR UMW Toyota sentiasa menjadi tumpuan orang ramai meskipun organiasinya terlibat dalam pengedaran dan perkhidmatan kereta.
“Kami sentiasa menyokong komuniti dengan aktiviti berasaskan sosial yang secara jelas memberi tumpuan kepada memperkayakan masyarakat untuk kehidupan harmoni yang lebih baik,” katanya.