Maklumat baharu MA63 akan didedah pada masa sesuai
KUCHING: Delegasi pasukan peguam ke London diketuai Menteri Muda Undang- undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali telah menemui maklumat baharu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama berkaitan hak Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau bagaimanapun akan mengumumkan perkara itu pada satu masa sesuai.
“Saya telah menghantar delegasi ke London diketuai Hasidah untuk mencari fakta dalam usaha kita menuntut hak kita kembali dalam perjanjian MA63.
“Kita mendapati ada perkara kita tidak tahu kerana banyak dokumen sulit dan kita baharu sahaja membukanya balik.
“Hasidah telah menemui maklumat baharu dan nanti saya akan dedahkan kerana saya mempunyai cara sendiri untuk mengembalikan hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Korban Perdana Peringkat Negeri anjuran jawatankuasa Masjid Darul Hana dan Majlis Islam Sarawak yang dihadiri Menteri Muda Elektrik Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Hasidah bertempat di Masjid Darul Hana di sini, semalam.
Hasidah bersama pasukan peguam lain ke London pada 16 Julai lepas selama seminggu dalam usaha membawa semua dokumen asli perjanjian serta salinan pulang ke Sarawak.
Sementara itu pada majlis korban diadakan itu Abang Johari mengagihkan daging korban kepada 300 penerima termasuk golongan asnaf.
Sebanyak 11 ekor lembu dikorban dengan lima daripadanya disumbangkan beliau, empat ekor disumbangkan Speaker DUN Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan dua ekor disumbangkan Dr Rahman.
Objektif program diadakan memberi pendedahan serta kefahaman sebenar tentang pelaksanaan ibadah korban serta falsafah di sebalik ibadah tersebut.
Selain itu ia bagi mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan serta mengeratkan tali ikhuwah dalam kalangan masyarakat dan merupakan salah satu aktiviti untuk projek pembangunan Darul Hana Kampung Seberang Hilir bagi kawasan DUN Pantai Damai.