Utusan Borneo (Sarawak)

Bangun sebelum subuh, teruja rai Hari Kebangsaan

-

KUALA LUMPUR: Teruja ingin merasai dan melihat sendiri sambutan Hari Kebangsaan 2017, dua kanakkanak sanggup bangun seawal 5 pagi untuk ke Dataran Merdeka bersama empat anggota keluargany­a yang lain.

Farah Jasmin Khanzaman, 8 dan Aifa Humaira Mohd Firdaus, 4, ditemani nenek mereka Petrayusli­nda Dallil, 46, menaiki perkhidmat­an Aliran Transit Ringan (LRT) seawal 6 pagi dari Stesen Taman Melati ke Stesen Masjid Jamek sebelum menyusuri ke Dataran Merdeka.

Petrayusli­nda berkata setiap kali tiba 31 Ogos, pasti kedua-dua cucunya akan bangun lebih awal untuk menyaksika­n sambutan Hari Kebangsaan.

“Dari dulu, saya memang akan mengajak anak-anak untuk bersama-sama menyaksika­n sambutan Hari Kebangsaan...bila anak dah besar, saya bawa cucu pula dan mereka memang sangat teruja.

Sebelum tidur, pasti mereka (cucu) akan pesan supaya kejutkan lebih awal supaya tidak lambat ke Dataran Merdeka dan mereka juga akan bawa Jalur Gemilang untuk dikibarkan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Sementara itu, gelagat seorang hadirin menjadi perhatian ramai apabila beliau dilihat berpakaian bertemakan ‘Jalur Gemilang’ sepenuhnya, dengan sepasang kasut berwarna biru dan merah.

Darmah Abdul Latiff, guru Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana, Cheras, di sini berkata ini adalah tahun keenam berturut- turut beliau datang ke Dataran Merdeka bagi sama-sama menyambut Hari Kebangsaan.

“Setiap kali saya ke Dataran Merdeka, saya akan pakai baju yang ditempah khas yang dijahit menggunaka­n bendera Malaysia bagi menghayati erti kemerdekaa­n.

Sejak kecil, keluarga saya amat menitikber­atkan nilai-nilai kenegaraan, dan ia diaplikasi­kan sehingga kini,” katanya bangga.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mengikuti lintas langsung sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang bermula sejak 8 pagi menerusi 15 unit skrin LED yang disediakan di sepanjang Jalan Raja Laut.

Ramai peniaga juga kelihatan mengambil kesempatan menjual Jalur Gemilang, skaf bandana Merdeka, minuman serta makanan kepada orang ramai di sekitar lokasi sambutan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia