Pemenang CMIEA Sarawak 2017 akan diumumkan pada Malam Gala
KUCHING: Pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) Sarawak 2017 akan diumumkan pada Malam Gala merangkap Majlis Makan Malam Ulang Tahun Pertama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) pada 8 September depan.
Presiden SBF Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
“Kemuncak Malam Gala ini nanti ialah penyampaian anugerah CMIEA kepada pemenang yang merupakan syarikat dari Sarawak dalam tiga kategori iaitu berskala besar, sederhana dan kecil.
“Sebanyak 20 penyertaan untuk ketiga-tiga kategori ini. Semuanya adalah pemenang iaitu anugerah gangsa, perak dan emas, daripada pemenang ini dipilih pemenang anugerah keseluruhan, yang akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di BCCK dekat sini semalam. Hadir sama Timbalan Presiden SBF Datuk Philip D I Ting, Setiausaha Agung SBF Jonathan Chai Voon Tok, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid dan ahli jawatankuasa SBF yang lain.
Abang Abdul Karim yang juga ahli Lembaga Pengarah MPC dan presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak ( SCCI) berkata CMIEA diperkenalkan buat julung kali untuk menyokong agenda kerajaan memperkukuhkan produktiviti negara.
Ia dikendalikan oleh SBF dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MPC bertujuan mengiktiraf sumbangan komuniti perniagaan Sarawak kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
“CMIEA mendapat sambutan amat menggalakkan. Pada mulanya kita hanya menyasar 10 penyertaan.
“SBF dan MPC berharap dapat menggalakkan perniagaan serta industri di negeri ini untuk melangkah maju dengan mengguna pakai amalan perniagaan terbaik dan menjadi contoh, aspirasi kepada yang lain,” katanya.
Mengenai Malam Gala itu, beliau berkata tiket majlis makan malam masih dijual dan mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat SBF di talian 082-237148 untuk sebarang pertanyaan.