K’jaan buat kajian terperinci tangani hakisan pantai di negara ini
KUCHING: Kerajaan membuat kajian terperinci bagi menangani masalah hakisan pantai negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, kajian itu merangkumi kesan hakisan, kos menangani masalah hakisan selain kajian daripada aspek teknikal dan teknologi boleh diguna pakai melindungi kawasan pesisir pantai, khasnya daripada terkena hakisan.
Katanya, 30 peratus kawasan persisiran pantai di Malaysia, termasuk Sarawak mengalami hakisan dan 10 peratus daripada jumlah tersebut diklasifikasi sebagai hakisan kritikal.
“Semalam (kelmarin), perkara ini ( isu hakisan) telah dibentangkan di Kabinet dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengarahkan supaya kajian terperinci dibuat bagi melihat perkara berhubung kait hakisan persisiran pantai di Malaysia secara keseluruhannya.
“Ini perlu diberi penekanan serius kerana jika kita lihat segi gelombang besar dan laut bergelora ini, semua persisiran pantai Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan mengalami hakisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan sumbangan Bantuan Kecemasan Ahli Parlimen Santubong serta penyampaian sumbangan BAKTI di Surau Darul Hijrah, Bandar Baru Samariang di sini, semalam.
Jelas Wan Junaidi juga merupakan Ahli Parlimen Santubong, jika perkara itu tidak diendah, hakisan itu boleh memusnah permukaan darat.
“Hakisan ini terjadi ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu akibat pertukaran iklim, maka jika ia tidak diambil kira, kawasan penempatan manusia, tempat institusi pekerjaan, sekolah, pejabat, universiti, perkampungan orang dan kebun akan terhakis dan masuk ke dalam laut,” katanya.
Wan Junaidi juga memberitahu, baru-baru ini beliau ke China atas memenuhi jemputan beberapa menteri sana termasuk Menteri Air, Menteri Alam Sekitar dan Menteri Hutan.
Dalam lawatannya itu, beliau berkesempatan berbincang bersama dengan Menteri Air dari China mengenai masalah gelombang besar dan taufan yang berlaku di Laut China Selatan pada ketika ini yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi mendedahkan China juga menyatakan minat untuk bekerjasama dengan negara ini bagi mempelopori industri kayu, buluh dan rotan.
“Kita (Malaysia) akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak China mengenai perkara ini dan ia masih lagi di peringkat kajian, apabila siap nanti kita akan maklumkan,” jelasnya.