Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan tidak perlu individu luar ulas wabak rabies: Dr Sim

-

KUCHING: Individu konon digelar pakar dalam mengulas wabak rabies diminta menghentik­an sebaran maklumat tidak betul sehingga boleh mencetus panik masyarakat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri ( JPBN) Sarawak sentiasa memberi maklumat terkini mengenai rabies menggunaka­n medium media massa.

“Tiada situasi panik berlaku sekarang, cuma ada sesetengah individu tidak bertanggun­gjawab mewujudkan suasana yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diminta memberi maklum balas terkini berkenaan tularan rabies itu di Stampin, semalam.

Katanya, maklumat tepat dan sahih diperlu pada masa ini dan kerajaan tidak perlu mana-mana individu menjadi jurucakap untuk mengulas mengenai rabies.

“Jika kita tidak memberi maklumat tersebut, ini bermakna ia sudah berada pada keadaan kritikal.

“Tetapi maklumat sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut dipetik berkata pakar penceramah yang tidak dinama itu mewujudkan suasana tegang.

Pihak JPBN Sarawak ujarnya lagi, akan sentiasa memberikan maklumat terperinci mengenai rabies setiap sehari supaya orang ramai turut dimaklum mengenainy­a.

Kata Sim taklimat berkenaan rabies dikendalik­an oleh JPBN Sarawak yang dipengerus­ikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bermula semalam, Persatuan Veterinar Swasta telah bersama-sama bergerak memberikan pendedahan mendalam mengenai cara pencegahan dan pengetahua­n rabies kepada orang ramai.

Usaha itu tegasnya akan dijalankan secara berterusan namun pihak kerajaan negeri turut menggesa supaya lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) akan turut bekerjasam­a menjalanka­nnya.

Beliau mahu lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) menyertai kerjasama tersebut dalam usaha untuk mendidik lebih ramai orang cara membendung rabies.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia