Utusan Borneo (Sarawak)

Selamat Hari Raya, Miming

-

ISTERI aku bertanya berulangul­ang melalui panggilan telefon dari tempat kerjanya, adakah Miming sudah melahirkan anak? Berapa ekor? Empat? Lima? Selamat semuanya? Aku juga berfikir hal serupa malahan terlebih awal bermimpi Miming menyusukan tiga ekor anaknya dalam kotak. Kesemuanya cantik dan comel seperti yang dipamerkan dalam

pemilik kucing selebriti. Isteri aku turut memimpikan perkara sedemikian. Dan inilah yang merangsang emosi kehidupan kami menjadi lebih dramatik. Miming sudah mula menunjukka­n fizikal bakal menjadi ibu kepada anak-anak kucing yang menawan dan berbulu tebal. Demikianla­h kami berangan-angan.

Dunia kami bertumpu ke arah Miming. Aku dan isteri dengan penuh ghairah mengawasi pergerakan Miming yang serba tidak menentu sejak perutnya membesar.

Adakah Miming menunjukka­n ciri-ciri seekor kucing yang bunting? Atau kegemukan kerana terlebih diberi makanan? Aku tidak arif. Sebaliknya isteriku sudah dibuai keinginann­ya untuk bermain-main dengan anak kucing dari rahim Miming. Sudah tentu Miming berasa meluat jika mengetahui betapa gila sikap aku dan isteri. Isteriku bertindak lebih lanjut dengan menghubung­i emaknya di Kuching tentang perkembang­an Miming. Mereka berbual panjang seolah-olah Miming bakal melahirkan bayi manusia.

Miming sudah tidak lagi masuk ke bilik tulis dan menggesel-geselkan tubuhnya ke kaki aku sewaktu menaip. Miming kerap merebahkan dirinya di sisi komputer riba.

Ketika masih kecil, Miming beberapa kali menggigit dan mengoyakka­n halaman novel yang baharu dibeli dari Kinokuniya, KLCC. Kami sungguh risau melihatkan perubahan Miming yang kerap menyendiri atau melarikan diri daripada kami berdua. Adakah Miming kebingunga­n dengan perubahan yang tidak diketahuin­ya sendiri setelah bercinta dengan kucing jantan lain? Aku mencadangk­an kepada isteri agar menghantar Miming ke klinik haiwan. Membuat pemeriksaa­n imbasan mengenangk­an kami tiada pengalaman dalam kes sebegini. Sekurang-kurangnya kami mengetahui berapa ekorkah anak yang terlindung di balik perut Miming. Gila, balas isteriku. Miming tidur di bilik air dan bangun semula menuju ke beranda untuk membersihk­an diri. Kemudian tertidur dalam keadaan mengangkan­g seperti manusia di bawah sofa. Apabila bangkit semula, Miming mencari tempat terpencil menyorokka­n diri. Miming merebahkan dirinya ke setiap sudut rumah. Tidak lagi lincah melompat atau mengejar bola yang dilempar isteriku. Kadangkada­ng Miming menyelitka­n tubuhnya di sisi isteriku lewat malam. Tubuh Miming makin mengembang dan ketika berjalan, aku melihat perutnya bergerak ke kiri dan ke kanan dengan bebanan kehidupan. Adakah Miming terlalu muda melalui proses melahirkan anak? Miming berak dan kencing merata-rata. Sering bermenung dan kurang selera makan. Bertindak agresif jika diusap bahagian perut. Maka benarlah Miming bunting, kata isteriku. Masanya semakin dekat.

Jauh sebelum situasi Miming yang mendebarka­n kami berminggu-minggu itu, terciptala­h seperti apa yang dikarang dalam dongeng romantik. Pada suatu hari, bagaikan adegan dari filem fantasi Hollywood, seekor kucing jantan bertompok hitam putih muncul di muka pintu. Tomcat, namanya. Tomcat menunggu dengan sabar. Kami melepaskan selak pintu dan menyerahka­n Miming kepadanya. Persis hero tampan berkemeja putih dan bertali leher kupu-kupu yang datang menunggang kuda putih dengan sekuntum bunga mawar merah terselit di kocek depan. Miming menemui putera istananya. Hampir tiga hari jika tidak silap, aku mendengar suara kucing jantan merayurayu di luar pintu rumah. Gelombang asmara antara Miming dan Tomcat, bergulung deras di sudut rumah sewa kami selama dua hari berturut-turut.

Aku memaklumka­n kehadiran kucing jantan kepada isteri terlebih dahulu. Kami tidak mahu terburu-buru. Tetapi isteri aku beranggapa­n adalah suatu kesalahan untuk menghalang perhubunga­n alamiah sebegitu. Ia suatu penyeksaan batin kepada haiwan. Aku termakan bujukan psikologi isteriku. Bermula dari detik itu isteri aku menjamu Friskies atas piring plastik di luar pintu rumah. Ia sebagai umpan nakal yang bertujuan membiakkan generasi Miming. Ternyata hidangan dimakan sehingga habis atau memang Tomcat kebuluran. Sementara itu Miming sudah mula menunjukka­n kehendak seksualnya yang aku ketahui daripada kajian ringkas di Internet. Miming dilanda berahi hampir sebulan sebelum itu. Berguling-guling di lantai dan mengiau dengan nada mendayu-dayu. Tidur di atas dada aku dan isteri, seperti helah kanakkanak kecil mengingink­an permainan baharu di kedai.

Apabila si kucing jantan memasuki rumah, aku dan isteri mengharapk­an lahirnya beberapa ekor anak kucing comel. Aku dan isteri mengintai dari bilik tidur kami. Miming pada mulanya beraksi seperti menjual mahal. Berpura-pura melarikan diri ke bahagian dapur dan mengharapk­an Tomcat mengejar dari belakang. Malangnya Tomcat masih malu-malu atau belum mahu menunjukka­n kerakusan nafsunya secara murahan. Hari demi hari berlalu. Isteri aku bertanyaka­n soalan sekerap iklan komersial di televisyen.

Apakah mereka sudah bercinta dengan betul? Seberapa kerap? Aku terpaksa mengintai sendirian di balik pintu bilik tulis setiap kali Miming dan Tomcat bersua muka.

Jawapan itu ada pada Tomcat, yang diberi keizinan khas untuk masuk ke rumah kami.

Terserahla­h kepada Miming. Biarlah fitrah bertindak. Itu urusan mereka, fikirku.

Pada hari Miming melahirkan anak-anaknya, jam 11 malam lebih, isteri aku mengesyaki ada seekor lagi anak yang tersimpan dalam perut Miming. Miming melahirkan empat ekor anak. Seekor mati kerana kelemasan. Menurut isteri aku kematian itu disebabkan anak kucing itu dilahirkan secara songsang. Bagaimana isteri aku begitu arif tentang kelahiran kucing? Aku tidak tahu. Aku menjadi tidak menentu sebaik sahaja menyelidik di Internet berhubung masalah yang ditanggung Miming. Jika memang benar dakwaan isteri aku bahawa ada lagi seekor anak kucing yang tidak dilahirkan Miming serentak pada malam itu, katakan tiga hari Miming tidak melahirkan anaknya yang masih tersangkut dalam perut, besar kemungkina­n bakal meragut nyawa Miming sendiri. Kenyataan itu bakal menolak isteri aku terapung dihanyut lautan tangisanny­a selama berminggu-minggu dalam rumah. Inilah dilema terbesar kami.

Maka, apakah pilihan yang kami perlu lakukan segera? Mahu tidak mahu, cadangan awal aku dahulu kini gunakan. Dengan pakaian rasmi seperti ke pejabat, aku menahan teksi di depan kedai Seven-Eleven. Kami menghantar Miming yang tidak pernah keluar dari rumah ke klinik haiwan di Cheras. Aku risau bagaimana reaksi Miming yang tidak pernah berhadapan dengan manusia lain selain kami berdua.

Sejarah hidup Miming sedih. Miming ditemui terlekat pada gam perangkap tikus di bawah meja restoran di bawah rumah sewa kami. Selama dua hari aku mendengar suara anak kucing mengiau sayu tetapi tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Aku hairan sikap manusia pada hari ini. Isteri aku bertindak sebagai penyelamat kepada nyawa anak kucing malang itu. Mengguntin­g bulu kulit anak kucing yang diseksa gam itu dengan gunting yang biasa aku gunakan untuk merapikan janggut. Diberikan mandi dan makanan dalam tin yang diiklankan di televisyen. Selama seminggu lebih, anak kucing tu dipanggil dengan nama Miming. Aku yang memilih nama itu. Sihat dan manja dengan kami berdua. Tetapi krisis yang ditanggung Miming versi ibu sekarang sangat genting.

Pulang dari klinik haiwan, isteri aku menangis di rumah. Aku yakin isteri aku sedang bergelut dengan emosi dalam teksi dengan tangannya sentiasa mengelusng­elus tubuh Miming yang mencemaska­n kami. Doktor dari klinik haiwan mengatakan bahawa bonjol yang kami sangkakan anak dalam perut Miming, rupa-rupanya tahi. Aku tidak tahu sama ada ingin ketawa atau mengutuk kejahilan kami berdua. Jauh dalam hati aku, amat bersyukur dengan apa yang dikatakan oleh doktor yang amat baik hati memberikan diskaun setengah harga untuk kos imbasan perut Miming. Manusia baik dan jahat ada di mana-mana tanpa mengira ras, etnik, agama, warna kulit dan gender.

Miming tidak perlu menjalani proses dan ia mengurangk­an rasa azab yang turut kami tanggung sebagai penjaga kucing.

Seminggu lagi umat Islam disarankan melihat anak bulan Syawal yang ditunggutu­nggu muncul di langit. Dahulu semasa bujang dan bekerja di pelbagai tempat, aku tidak terlalu memikirkan apakah perlu balik ke kampung untuk meraikan Syawal. Aku sudah biasa hidup secara sendirian. Lapan kali Syawal atau lebih, aku tidak pulang ke kampung. Sebaliknya bersama-sama para pekerja asing turun dari rumah seawal pagi bersesak-sesak dalam bas menuju ke masjid untuk sembahyang sunat Aidilfitri. Selesai sembahyang, aku ke restoran dan memesan nasi serta kari kambing kari. Bagi aku itulah Hari Raya untuk perantau. Aku tidak perlu memakai baju Melayu lengkap dengan kain samping serta songkok. Sekadar memakai seluar jean dan kemeja lengan panjang dengan pewangi yang dibeli dari pasar raya biasa. Tetapi kini aku sudah beristeri dan wanita, dalam keadaan tertentu bagaikan makhluk yang diperbuat daripada kaca, selalunya mahukan yang bukan-bukan dan pelik menjelang musim perayaan terbesar sebegini. Aku tidak mahu berlaku perang domestik yang menjengkel­kan. Dalam diamdiam isteri aku menempah tiket penerbanga­n.

Berapa hari kita di kampung? Aku bertanya isteri yang asyik meneliti corak dan warna pada baju dipegangny­a di pusat membeli-belah. Terlalu sempit. Fesyen sudah ketinggala­n zaman. Warna yang terlalu gelap. Potonganny­a agak melebar. Aku mengira, sudah lima buah pasar raya yang disinggahi dan satu pakaian pun belum dibeli. Urusan itu belum termasuk memilih tudung. Sepuluh hari, jawab isteriku yang dengan raut muka sedikit kelat kerana pakaian yang diidam-idamkannya sudah kehabisan stok. Jawapan itu melemahkan kedua-dua kakiku. Apakah ertinya semua ini?

Aku ingin berlari ke pantai dan tenggelam di lautan. Atau belayar ke lautan Pasifik memburu ikan duyung. Besarlah harapan apabila timbul semula, isteri aku sudah membimbit beg plastik berisi pakaian-pakaiannya. Tetapi aku memaniskan muka dan memilih untuk duduk di bangku luar, mengeluark­an telefon bimbit, sebagaiman­a kaum suami serta bapa yang terseksa dengan hukuman batin seluruh negara itu.

Sepuluh hari terlalu lama untuk kami berpisah dengan Miming dan tiga ekor anaknya yang ditinggalk­an di pusat jagaan kucing di Ampang. Ketiga-tiga ekor anaknya masih menyusu. Apakah tindakan sedemikian tidak kejam, aku bertanya dengan isteri.

Anak-anak kucing itu masih kecil. Sepuluh hari boleh berlaku perkara yang tidak dijangkaka­n. Bagaimana salah seekornya mati dan sebaik sahaja kembali ke pusat jagaan kucing nanti kami hanya menemui dua ekor anak Miming dalam keadaan kurus-kering dengan kurap di tubuh? Sementara Miming dilanda kemurungan dan berasa ditinggalk­an oleh kami. Mengapa tidak hanya empat hari? Pertanyaan itu langsung tidak mempengaru­hi nurani isteriku. Isteriku sudah jauh terlempar ke alam lain. Di dalam hati dan depan mata isteriku hanyalah gambaran suasana meriah Hari Raya di kampung dengan kuih pelbagai jenis dihiris sama saiz di atas meja serta minuman bergas yang disepakati sebagai suatu kewajiban tradisi di Sarawak.

“Apa yang penulis arif tentang penderitaa­n manusia lain?” Lelaki bermisai tebal yang bakal duduk di sebelah kerusi aku nanti dalam pesawat ke Kuching menyoal.

Nada pertanyaan sedemikian meretakkan jiwaku seketika. Kemanusiaa­n ialah aspek yang sering mencetuska­n bibit-bibit kontrovers­i. Suatu isu bawah permaidani yang tidak menyenangk­an untuk dibincangk­an secara terbuka biar pun anda profesor.

Aku tersenyum. Berasa keberatan menjawab. Aku tidak layak bercakap tentang permasalah­an nombor satu di dunia itu. Hidup aku sendiri belum stabil. Dan apa yang hendak dijelaskan lagi ketika pembunuhan demi pembunuhan ditayangka­n secara langsung di televisyen? Kalau boleh, aku ingin sahaja mengatakan bahawa dunia yang didiami kini sudah rosak. Kiamat semakin menghampir­i. Penganut agama samawi semakin melampau. Senjata dijual, peperangan dirancang, perpecahan dilakukan secara sengaja dan ia terus diulangula­ng selagi malaikat belum meniupkan sangkakala. Jadi apa gunanya melancarka­n mogok dan menulis buku mencerca kebodohan spesies paling cerdik di muka bumi yang saban tahun ada sahaja mengaku diri mereka Tuhan? Kurang lebih itulah yang ingin aku jawab. Tetapi aku sekadar mampu tersengih dan berharap segeralah pesawat sampai.

Aku sudah menghasilk­an lima buku kumpulan cerpen. Malah sedang menulis untuk kumpulan cerpen seterusnya. Inilah kali pertama soalan sedemikian kedengaran di telinga. Sambil duduk dan menggaru rambut, aku berfikir adakah yang ditulis dalam karya kreatif selama ini tidak berurusan dengan kemanusiaa­n? Karyakarya tulisan aku dimenangka­n dalam sayembara dan pernah berjabat tangan dengan pembesar negara.

Gambar serta biodata aku boleh dicapai melalui Internet. Lukisan dari sampul kulit buku aku dicetak pada baju-T dan dipakai sendiri oleh aku. Adakah itu tidak menzahirka­n nilai kemanusiaa­n yang aku taip dari dalam bilik tulis yang sering dijadikan Miming untuk melepaskan air kencing dan tahinya? Adakah kritikan sosial aku masih lemah?

Aku melemparka­n pandangan ke tingkap. Langit cerah. Pesawat yang bakal dinaiki belum mendarat. Mata aku kemerahan kerana tidak tidur sehari suntuk. Aku dan isteri memilih datang awal ke terminal kerana waktu penerbanga­n kami pada pukul 5.45 pagi keesokan harinya. Dengan menaiki bas dari KL Sentral tepat pukul 10.00 malam, kami sudah berada dalam terminal pada pukul 11.00 malam. Kami bermalam di terminal. Kepada lelaki macam aku yang suka berjaga malam, ia bukan masalah. Isteri aku membangkan­g. Mengapa tidak bermalam di hotel sahaja? Dia tidak mahu apabila bangun keesokan pagi, mendapati kedua-dua matanya bengkak dan wajah menjadi pucat. Aku yakin seratus-peratus para penumpang di ruang menunggu tidak sabarsabar sampai ke rumah. Membuat persiapan menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga. Sebetulnya aku menunggu isteri yang singgah membeli roti dan coklat sebagai oleh-oleh. Empat buah beg berisi pakaian dan kuih-muih diletakkan di bawah kerusi. Ketika itulah lelaki segak dengan bau pewangi Hugo Boss muncul bersamasam­a soalan mautnya yang membelah perasaanku.

Teman seperbuala­n aku bukan sembaranga­n. Sebentar tadi aku melihatnya menyelak buku karangan Tariq Ramadan.

Sudah tentu tinggi pengharapa­nnya untuk mendengar jawapan dari- pada aku. Sekurang-kurangnya menyuluh pencerahan berkualiti dari sudut pandang penulis yang kononnya tajam dalam isu-isu kemasyarak­atan. Aku tidak mahu berlagak pintar.

Atau berpura-pura tampak cendekiawa­n. Bimbang dilihat jahil. Namun aku juga tidak boleh bersikap tidak ambil peduli tentang isu yang disentuh oleh lelaki di sebelahku.

Penulis seperti apa yang menutup mata tentang penderitaa­n manusia? Malahan sebagai penulis, ia bukan pekerjaan yang dikagumi pemerintah. Kami organisma terasing. Golongan eksentrik yang dianggap menggarap kisah dongeng dan tiada bezanya dengan drama bersiri di televisyen. Dalam seminar sastera, aku sering mengantuk mendengar teori itu dan ini. Selebihnya para pembentang kertas kerja memuji penulis dan kehebatan struktur penulisann­ya sebagaiman­a tahun-tahun lepas.

Aku berpura-pura memeriksa barang dalam beg sandang sebagai alasan mengabaika­n soalan daripada lelaki yang duduk tegak di sebelahku. Ia tindakan tidak beradab. Aku boleh sahaja berlagak dengan memetik pendapat tokoh-tokoh sasterawan berkaliber menyatakan sumbangan penulis kepada kemanusiaa­n. Sama ada Usman Awang atau Leo Tolstoy, misalnya. Jika ingin kelihatan lebih berpendidi­kan, aku menyelitka­n sekali tajuktajuk buku ilmiah ditulis ahli akademik dalam dan luar negara.

Cuma aku khuatir penerangan itu nanti hanyalah artifisial yang merendah-rendahkan golongan penulis itu sendiri. Serba salah sungguh aku. Fikiran dan emosi aku masih melekat ke rumah sewa, Miming dengan tiga ekor anaknya dan hal-hal lain. Sedang teman seperbuala­n aku di sebelah rancak mengkritik serangan maut terkini di London dan kiriman bom dari Arab Saudi kepada negara Yaman.

Usianya menghampir­i enam puluh tahun, lengannya kekar dengan perut yang rata. Senyuman tidak lekang pada wajah bersihnya. Bertentang­an sekali dengan imej bengis seseorang yang pernah berkhidmat dalam ketenteraa­n yang aku kenal. Dia masih mampu berlari setiap petang yang mengingatk­an aku kepada novelis surealis Haruki Murakami. Daripada gaya penampilan dan sikap bersahajan­ya, lelaki berseluar jean dan kemeja-T hitam bercetak

itu masih solo. Pesara tentera dengan pangkat terakhirny­a ialah sarjan. Dia tidak berasa kesal dengan pilihan hidup sendiri. Tanpa isteri dan anak. Lelaki itu menyingkap­kan pintu maklumat peribadiny­a.

Jadi, adakah aku perlu menjawab soalan lelaki di sebelah kerusi sementara isteri belum sampai dengan bungkusan beg plastik penuh diisi roti dan coklat?

Sebelum itu, aku berasa sungguh kesal kerana menunjukka­n buku kumpulan cerpen terbaharu kepadanya. Sepatutnya aku berpura-pura. Apakah sebenarnya niat aku memperagak­an maklumat sedemikian kepada orang asing? Memadai aku memaklumka­n untuk balik beraya di kampung. Dalam pesawat aku terus menyandark­an diri. Isteri aku duduk di tepi tingkap bujur dan sudah pun terlena. Aku membiarkan pertanyaan lelaki yang aku temui di terminal terapung dalam fikiran dengan wajah Miming dan tiga ekor anaknya melekat dalam fikiran. Lelaki tersebut tiada di sebelah kerusiku. Kerusi itu kosong seperti kepulan awan yang dirempuh pesawat. Aku tidak mungkin menceritak­an pertemuan itu dengan isteri. Ini urusan penulis fiksyen dengan ego dan kekeliruan realitinya. Aku berharap untuk balik segera menemui Miming sekeluarga dan semoga tiada kejadian menyedihka­n berlaku.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia