Fukushima: Tiga bekas eksekutif ke mahkamah
Mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kecuaian profesional dalam bencana loji nuklear pada 2011
TOKYO: Tiga bekas eksekutif daripada pengendali loji nuklear Fukushima yang dilanda tsunami di Jepun dihadapkan dalam perbicaraan semalam, yang pertama pernah berdepan mahkamah jenayah berhubung dengan kecairan pada 2011 yang menyebabkan sebahagian besar kawasan di luar bandar tidak dapat didiami.
Bekas pengerusi Tokyo Electric Power ( TEPCO) Tsunehisa Katsumata, 77, bekas timbalan presiden Sakae Muto, 66, dan Ichiro Takekuro, 71, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kecuaian profesional mengakibatkan kematian dan kecederaan, lebih enam tahun selepas kemalangan atom terburuk dalam satu generasi.
Katsumata memberitahu mahkamah Tokyo ia adalah mustahil bagi dia untuk mengetahui lebih awal secara langsung bagi risiko gelombang air besar yang melanda pantai timur laut Jepun pada Mac 2011.
“Saya meminta maaf bagi masalah yang sangat besar terhadap penduduk di kawasan itu dan seluruh negara kerana disebabkan oleh kemalangan serius yang menyebabkan pembebasan bahan radioaktif,” kata Katsumata dalam suara yang kurang jelas didengari, sambil menundukkan badannya.
Namun “saya percaya saya tidak mempunyai tanggungjawab jenayah dalam kes itu”.
Pertuduhan itu adalah yang pertama – dan satu-satunya – dakwaan yang berpunca daripada kecairan reaktor akibat tsunami di loji yang menyebabkan krisis atom terburuk sejak Chernobyl pada 1986.
Sekiranya disabitkan, mereka berdepan dengan hukuman penjara selama lima tahun atau denda sehingga satu juta yen.
Pendakwa raya telah menolak sebanyak dua kali untuk mengemukakan dakwaan terhadap mereka, memetik bukti yang tidak mencukupi dan peluang tipis bagi pensabitan.
Namun satu panel penilaian kehakiman yang terdiri daripada rakyat biasa memutuskan pada 2015 bahawa ketiga-tiga mereka akan dihadapkan di perbicaraan, yang memaksa pendakwa raya meneruskan kes tersebut di bawah undangundang Jepun.
“Sejak kemalangan, tiada sesiapa yang telah bertanggungjawab mahupun menyatakan dengan jelas kenapa ia berlaku,” Ruiko Muto, yang mengetuai kumpulan yang mendesak bagi perbicaraan, memberitahu AFP di luar mahkamah daerah Tokyo pada pagi semalam.
Penduduk yang dipindahkan, Yoshiko Furukawa, berada di luar mahkamah semalam bersama dengan beberapa orang lagi yang meninggalkan rumah masing-masing selepas bencana tersebut.
“Apa yang saya hilang pada 11 Mac, 2011 merupakan satu kehidupan biasa,” kata Furukawa, yang sekarang menetap di bandar berlainan.
“Sebagai seseorang yang tidak mengetahui apa- apa (tentang risiko bencana, saya sekarang berada dalam tahun ketujuh sebagai seorang yang dipindahkan.”
Pendakwa raya memberitahu mahkamah semalam beliau akan cuba untuk membuktikan bahawa ketiga-tiga defendan telah mampu untuk mengagak risiko bagi tsunami besar dan gagal untuk mengambil langkah sepatutnya dalam menangani risiko itu.
Ketiga- tiga mereka telah hadir pada mesyuarat keselamatan di mana pakar mengemukakan ketinggian yang dijangkakan bagi tsunami berlaku di luar pantai Fukushima, jelas beliau.
Defendan mempunyai akses untuk data dan kajian menunjukkan kepada risiko bagi serangan tsunami mengatasi 10 meter di kawasan yang boleh menyebabkan kehilangan bekalan elektrik dan kemalangan teruk, tambah beliau.
“Sekiranya mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi keselamatan, bencana ini mungkin tidak berlaku,” kata pendakwa raya.
Satu laporan awal oleh panel kerajaan menyatakan TEPCO menganggarkan impak tsunami ke atas loji pada 2008 dan memutuskan bahawa satu gelombang setinggi 15.7 meter akan berlaku selepas gempa bumi sekuat 8.3 pada skala Richter.
Ombak setinggi 14 meter melanda sistem penyejukan reaktor pada Mac 2011 selepas gegaran sekuat 9.0 pada skala Richter dan mencetuskan bencana yang menyebabkan kira-kira 18,500 orang terkorban atau hilang. — AFP