LAKMM rancang bina sekolah agama penuh, surau
Ia bertujuan memenuhi keperluan pusat ibadah dan keilmuan masyarakat Islam di Miri, kata Abdillah
MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri ( LAKMM) merancang membina sebuah sekolah agama penuh dan sebuah surau baharu bagi tujuan memenuhi keperluan pusat ibadah dan keilmuan masyarakat Islam di sini.
Pengerusinya, Datuk Abdillah Abdul Rahim berkata, sokongan dan maklum balas masyarakat dialu- alukan supaya perancangan dapat dilaksana dengan jayanya.
“Kita berharap agar perancangan kita ini akan tercapai. Kita juga berharap masyarakat akan terus membantu supaya rancangan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib di salah sebuah hotel ternama di sini malam kelmarin.
Majlis tahunan anjuran
Kita berharap agar perancangan kita ini akan tercapai. Kita juga berharap masyarakat akan terus membantu supaya rancangan berjalan dengan baik. Datuk Abdillah Abdul Rahim Pengerusi LAKMM
LAKMM turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Mengenai projek surau, Abdillah berkata, surau baharu dicadang dibina di Pujut Tujuh atas permintaan masyarakat Islam sekitar kediaman itu.
Beliau memberitahu, surau akan dibina bersebelahan tanah perkuburan Islam di Pujut Tujuh.
“Apabila siap kelak, surau ini akan menjadi tarikan untuk penduduk Miri,” jelasnya.
Perancangan baharu LAKMM kedua ialah membina sebuah sekolah agama penuh menawarkan pengajian akademik sekolah rendah.
Abdillah memberitahu, sekolah akan dibina di atas tanah milik LAKMM di kawasan perumahan Piasau.
LAKMM kini menyeleng- gara masjid At Taqwa, masjid Darul Ehsan Piasau, masjid Jamek dan surau Darul Salam Taman Bumiko
Selain itu, LAKMM juga mengurus Sekolah Agama Rakyat Miri untuk keperluan pendidikan agama pelajar Islam di sini
Mengenai majlis, antara objektif utamanya ialah peluang mengumpul masyarakat pelbagai kaum di sini meraikan bersama hari raya yang menggambarkan kukuhnya semangat perpaduan dan persahabatan masyarakat di Miri.
Pada majlis itu, LAKMM menerima sumbangan RM60,000 iaitu RM50,000 dari Naim Holdings Berhad disampaikan Pengurus Besar Kanan, Charles Bateman dan RM10,000 dari Samling disampaikan Pengarah syarikat, Troy Yaw.
Majlis turut menyaksikan penyampaikan sijil Jasamu Dikenang kepada 13 ahli.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil , Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat, ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar, Adam Yii dan Datuk Dayang Morliah Awang Daud.