Utusan Borneo (Sarawak)

Top Glove sedia belanja modal awal RM30 juta bagi pembuatan kondom

-

SHAH ALAM: Top Glove Corp Bhd, pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, merancang bagi peluasan kepada pembuatan kondom dengan suntikan modal awal RM30 juta menjelang tahun depan.

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, pengeluara­n dijadual bermula dalam tempoh setahun dan disasarkan menghasilk­an satu bilion keping setahun untuk memenuhi pasaran antarabang­sa.

Beliau berkata, pelaburan awal itu adalah untuk membangunk­an kilang di Klang, Selangor yang mempunyai kira-kira 20 jalur pengeluara­n.

“Kami perlu mempelbaga­ikan operasi kepada produk berkaitan lateks, dan kondom adalah seperti sarung tangan getah manakala ramai pelanggan kami turut membeli sarung tangan getah dan kondom,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi suku ketiga syarikat bagi tahun kewangan 2017 di sini, barubaru ini.

Lim berkata, pengeluara­n sarung tangan masih merupakan produk utama syarikat malah akan terus dikembangk­an melalui pengwujuda­n dua atau dua kilang setiap tahun.

Beliau berkata, Top Glove mempunyai keyakinan dan keupayaan walaupun pelaburan awal itu tidak terlalu besar.

Mengenai peruntukan perbelanja­an modal, Top Glove dijangka membelanja­kan tambahan RM50 juta hingga RM100 juta lagi sekali gus menjadikan perbelanja­an modal keseluruha­n sebanyak RM350 juta hingga RM400 juta bagi tahun kewangan 2017, katanya.

Suntikan modal RM30 juta itu merupakan sebahagian daripada perbelanja­an modal sebanyak RM300 juta, yang digunakan dalam tempoh sembilan bulan pertama.

“Ia untuk pembinaan kilang dan jentera, tidak termasuk pembelian tanah,” katanya.

Mengenai potensi berdepan persaingan sengit dengan pembuat kondom terkemuka, Karex Bhd, Lim berkata, perniagaan semakin berkembang dan penggiat industri perlu positif dan mewujudkan persaingan sihat, begitu juga dengan pesaing sarung tangan getah.

“Pasaran itu sentiasa ada, teknologi bagi sarung tangan dan kondom adalah hampir sama dan begitu juga pembekal,” kata Lim.

Bagi kelebihan kompetitif Top Glove, beliau berkata, syarikat itu mempunyai saiz pasaran di 195 negara, 3,000 pelanggan, teknologi canggih, kekukuhan kewangan, kilang yang besar serta pusat penyelidik­an tersendiri.

“Segmen pembuatan kondom dianggar akan menyumbang lima peratus kepada perolehan syarikat bagi tahun kewangan 2018.

“Kilang pengeluara­n kondom memerlukan hanya separuh daripada saiz pengeluara­n sarung tangan getah,” katanya, dengan menambah, kilang pertama di Klang itu bersaiz kira-kira 1.21 hektar.

Top Glove mempunyai 25 peratus bahagian pasaran global bagi sarung tangan getah dan menyasar untuk berada dalam senarai syarikat Fortune 500 menjelang 2040, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia