Ibu bapa perlu hantar anak OKU ke sekolah
LAHAD DATU: Ketua Wanita UMNO Silam Mizma Appehdullah menggesa ibu bapa khasnya di luar bandar agar memastikan anak orang kurang upaya (OKU) tidak tersisih daripada mendapatkan pendidikan.
Menurutnya keengganan mereka membenarkan anak OKU mendapat pendidikan akan merugikan mereka sedangkan jika mereka didedah dengan pendidikan masa depan anak-anak OKU ini boleh berubah.
“Di kawasan luar bandar terutamanya, ibu bapa janganlah bertindak menyembunyikan anak yang sungguh istimewa ini semata- mata mahu menjaga status keluarga, berasa malu mempunyai anak OKU dan pelbagai macam lagi alasan.
“Kita juga berperanan memastikan ahli komuniti kita, jiran kita atau ahli keluarga kita yang OKU dilayan sama rata seperti kanak-kanak normal dan perlu ke sekolah menimba ilmu serta kemahiran demi masa depan mereka,” katanya.
Mizma berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Pekan Lahad Datu, di Dewan Sujana Putra, di sini, kelmarin.
Menurutnya kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan khas untuk pendidikan OKU dan apabila bekerja mereka turut mendapat Elaun Pekerja Cacat serta pelbagai kemudahan akan diberi apabila menggunakan Kad OKU setelah berdaftar di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.
Katanya, OKU mempunyai kelebihan yang tersendiri dan apabila mereka mendapat pendedahan dan pendidikan lanjut mereka boleh mencapai kecemerlangan yang membanggakan.
“Ini terbukti dalam Temasya Sukan Paralimpik di Rio, Brazil apabila atletatlet OKU mengharumkan nama negara dengan kejayaan gemilang mereka sekali gus mencipta sejarah yang tersendiri seterusnya menjadikan mereka ikon sukan dengan menikmati pelbagai insentif yang menjamin hidup mereka,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sakka Labacho ketika berucap berkata mendidik OKU sememangnya mencabar namun ia satu pengalaman yang berharga dalam melaksanakan tanggungjawab pendidik di sekolah.
“Saya turut menyeru agar ibu bapa tidak menyisihkan anak- anak OKU dengan tampil menyekolahkan mereka kerana melalui pendidikan mereka boleh mengenali dunia seterusnya dibimbing untuk berdikari untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
Majlis itu meraikan lima pelajar OKU dan salah seorang daripada mereka ialah Mohd Haizuan Abdul San, 12, yang tidak boleh berjalan sejak dilahirkan lagi.
Ketika ditemui Utusan Borneo, Haizuan berkata sejak bersekolah dia semakin yakin untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah.
“Kami orang susah, ibu menjual kuih-muih dan bapa sudah tidak ada lagi. Saya berazam untuk belajar bersungguh- sungguh kerana hanya dengan cara itu saya boleh membantu keluarga saya dan menunaikan impian ibu dan bapa untuk mempunyai seorang anak seorang pensyarah,” katanya.