Kuarters usang akan dibaik pulih untuk kegunaan orang ramai, NGO
BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep akan membaik pulih kuarters-kuarters kerajaan yang sudah usang dan tidak digunakan lagi di sini.
Menurut beliau, inisiatif itu dibuat bagi mengelak pembaziran kemudahan kerajaan di mana ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti.
“Terdapat banyak kuarters kerajaan di sini yang tidak digunakan.
“Maka itu, saya telah meletakkan peruntukan untuk membaik pulih kuarterskuarters ini agar ia boleh digunakan sebagai kemudahan untuk orang ramai dan NGO menjalankan aktiviti.
“Ini adalah lebih baik daripada kita membina kemudahan baharu kerana ia menelan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Bau di Tondong Inn, di sini Ahad lalu.
Sehubungan itu, Henry telah memberi kebenaran kepada PITSA Cawangan Bau agar menggunakan salah satu daripada kuarters tersebut sebaik sahaja ia siap dibaik pulih.
“Saya mahu salah satu daripada kuarters ini diuruskan oleh PITSA Cawangan Bau sama ada menjadikan ia sebagai homestay kerana ini akan memberi perniagaan kepada persatuan,” katanya.
Sempena majlis itu, Henry turut menyatakan akan menyumbang sebanyak RM5,000 kepada PITSA Cawangan Bau untuk membuka akaun bank pada tahun depan bagi membolehkan penubuhannya didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).