400 murid kurang mampu terima sumbangan beg sekolah iM Sarawak
KUCHING: Seramai 400 murid daripada enam sekolah sekitar kawasan Satok yang berasal dari pada keluarga kurang mampu menerima sumbangan beg sekolah iM Sarawak sempena program penyampaian Sumbangan Buka Sekolah 2017 kelmarin.
Menurut Pengerusi Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok merangkap Ahli Lembaga Penasihat iM Sarawak Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, program kebajikan tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan sejak 2014 bertujuan meringankan beban para ibu bapa murid penerima di samp- ing menyuntik semangat untuk terus menimba ilmu demi masa depan cerah walaupun berhadapan dengan kesukaran.
“Program penyampaian Sumbangan Buka Sekolah 2017 merupakan anjuran bersama KSK Satok dan iM Sarawak dan merupakan kali ketiga diadakan sejak 2014,” ujar Irwan ketika ditemui selepas selesai majlis ringkas penyampaian sumbangan di SK Combined.
Menurutnya, enam sekolah tersebut adalah SK Combined, SK Merpati Jepang, SK Rakyat, SJK Chung Hua No.4, SK St Joseph dan SK St Teresa serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok.
“Para penerima sumbangan merupakan murid yang tersenarai dalam program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) termasuk murid pendidikan khas. “Saya berharap sumbangan yang diterima murid akan dapat menyuntik semangat mereka untuk terus menimba ilmu seterusnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” tambah Irwan.
Sementara itu Timbalan Pengerusi KSK Satok Kaunselor Iskandar Sharkawi turut memberi galakan kepada para penerima sumbangan terus berusaha supaya berjaya dalam pelajaran serta aktiviti kurikulum sekolah.
“Selain dalam bidang pelajaran, murid juga seharusnya aktif dalam bidang kurikulum sekolah yang dapat mengajar mereka erti kerjasama serta berdisiplin.
“KSK Satok turut mengalukan sekolah-sekolah berdekatan untuk menggunakan Kompleks Sukan Satok (Padang SLPAS) bagi tujuan penganjuran aktiviti sekolah yang bermanfaat seperti sukan dan rekreasi sebagai usaha meningkatkan kecergasan dan kecerdasan para murid supaya berjaya bukan sahaja dalam bidang pelajaran tetapi juga kokurikulum,” jelas Iskandar.