Miri masih mendambakan kemenangan pertama
MIRI: Meskipun sekadar seri 1-1 menentang Bintulu FC pada Ahad lalu, pasukan Miri masih mendambakan kemenangan pertama saingan kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).
Ketua Jurulatih Miri, Abu Bakar Amran berkata meskipun berkeputusan seri beliau amat berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya ketika menerima kunjungan Bintulu FC di laman sendiri Ahad lalu.
“Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki terutamanya di bahagian serangan kerana kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun rezeki tidak memihak kepada kita,” katanya di sini semalam.
Abu Bakar berkata, Miri belum menghasilkan kemenangan selepas dua perlawanan menentang Mukah FC (seri 0-0) dan Bintulu FC (seri 1-1).
Bagaimanapun, beliau yakin anak- anak buahnya mampu memberi kemenangan pertama di tempat sendiri melayan kunjungan Limbang yang merupakan pasukan teratas dalam Kumpulan B.
Menyedari kekuatan pasukan Limbang selepas menang kedua-dua perlawanan menentang Mukah dan Bintulu, beliau tidak mahu pasukan Miri menjadi mangsa kekalahan.
“Kita tahu pasukan Limbang menang kedua-dua perlawanan sebelum ini namun Miri tetap memberi saingan sengit ketika menerima kun- jungan mereka pada Ahad ini (30 Oktober),” jelasnya.
Abu Bakar akan melakukan perubahan dari segi formasi permainan bergantung kepada keupayaan pemain-pemain dengan sistem digunakan menentang Limbang.
“Harapan kita semua pemain menunjukkan prestasi terbaik menentang Limbang seterusnya menyempurnakan peluang sedia ada mendapatkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri,” katanya.
Perlawanan berlangsung di Padang Kelab Rekreasi dan Petroleum Miri bermula jam 4 petang dan orang ramai dijemput datang bagi memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah.