Kempen #YOUCANDUIT bantu peserta raih pendapatan jutaan ringgit
GOPENG: Seramai 50,000 peserta program e-Usahawan dan e-Rezeki berjaya menjana pendapatan RM28 juta menerusi kempen digital #YOUCANDUIT, yang dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sehingga 30 September lepas.
Pengarah Pengupayaan Komuniti B40 MDEC Darzy Norhalim berkata daripada jumlah itu, RM21 juta diraih oleh 14,000 peserta e-rezeki, manakala RM7 juta lagi oleh 36,000 peserta e-Usahawan
“Menerusi kempen # YOUCANDUIT, para peserta daripada golongan belia dan B40 yang berpendapatan rendah dilatih untuk meningkatkan taraf ekonomi menerusi alam digital seperti Facebook, Instagram dan sosial media,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kempen #YOUCANDUIT di Perak sempena Karnival Halal Malaysia 2016 peringkat ke- bangsaan di sini kelmarin.
Kempen dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Samsudin Abu Hasan.
Majlis itu turut menampilkan beberapa selebriti jemputan seperti Datuk Rosyam Noor dan Erma Fatima yang turut berkongsi pengalaman mereka dalam bidang keusahawanan.
Jelas Darzy, program perintis itu adalah untuk menginstitusikan keusahawanan digital melalui Pendidikan Teknik dan Vokasional serta Latihan bertujuan menaik taraf lepasan universiti daripada menjadi pencari kerja kepada pencipta pekerjaan.
Mengenai sambutan di Perak, Darzy berkata penerimaan rakyat adalah sangat memberangsangkan apabila hampir 5,000 peserta telah menyertai program itu. — Bernama