Ketawaku Telah Hilang Dicuri Orang
SEPARUH kesedaran aku pun masih mampu menangkap panorama redup lantaran mendung yang menggelapkan langit. Kulihat malam pada hamparan kota dan kudapati wajah sendiri yang sunyi, mengejar jawapan atas satu hal yang tak kunjung datang. Apakah yang patut kuberikan untuk mengisi lompang waktumu? Sepotong kisah?
Kau tidak perlu skeptis kerana kau pasti tahu apa yang aku katakan. Sungguh. Aku tidak menyimpan dendam daripada apa yang akan aku tuturkan ini. Aku cuma mahu kejujuran. Kau perlu menjawab dengan ikhlas. Lontarkan jauh-jauh segala ciri puak munafik dalam diri. Jika kau masih cuba bermain teka-teki dan cuba menipu, hentikan bicaramu. Kau sudah terlalu banyak membazirkan masaku.
Aku dengar desar angin datang yang cuba menghentak dan menggertakku. Kaukah yang cuba menjadi angin itu? Hembuslah sekuat hatimu, aku tidak gentar untuk menceritakan sepotong kisah ini. Aku tidak takut biarpun aku tahu, manusia tidak mampu membezakan makna angin tersebut.
Angin palsu atau angin kebenaran? Manusia sering tertipu dengan angin yang terasa mendamaikan kerana angin itu tidak kelihatan. Hanya kesannya yang kelihatan setelah mencipta kebinasaan.
Ramai yang tidak mampu menyembunyikan gelak dan geli hati apabila aku membuat laporan rasmi bahawa kau mencuri ketawaku. Orang yang ketawa itu pastinya golongan yang bersekongkol denganmu. Merekalah golongan yang belum kehilangan ketawa. Ketawa mereka belum lagi dicuri.
Mereka boleh bercenerul, menggelinjang dan ketawa sesukanya, sedangkan aku sudah tidak mampu ketawa. Aku terus membisu dalam senyap. Kau masih tanya mengapa? Bukankah sudah aku katakan bahawa kau telah mencuri ketawaku.
“Sungguh. Saya bercakap benar. Ketawa saya telah dicuri orang. Tadi saya telah beritahu … siapakah pencuri tersebut. Tuan perlu bertindak! Tuan perlu tangkap pencuri itu!”
“Bagaimana saya hendak menangkap pencuri tersebut? Encik tidak mempunyai bukti.
Tuduhan itu mungkin berniat jahat.” Lelaki berpakaian seragam itu melontarkan kata-kata dengan serius. Adakah dia juga kehilangan ketawa ?
“Tuan tidak boleh terlalu awal membuat spekulasi. Tuan hanya perlu menyia- sat. Setelah siasatan dibuat, barulah tuan dapat pastikan sama ada laporan yang saya buat itu benar atau palsu.”
Pegawai itu menarik nafas yang menyendat dada. Aku rasa ada riak geram pada wajahnya.
“Tapi encik masih tidak ada asas. Mulut encik masih ada. Bibir encik pun masih elok pada muka. Hanya encik yang tidak mahu ketawa.”
Bukan sahaja laporan aku dibakulsampahkan malah aku turut diketawakan. Kau pasti gembira tatkala laporanku tidak diendahkan. Segala kebenaran telah dikesampingsisihkan.
Apa ? Kau pun masih tidak percaya bahawa ketawaku telah dicuri? Kau kata aku menipu? Kau yang menipu. Jangan berbicara seperti mempersoalkan antara ayam dan telur, mana yang dulu? Aku tidak mahu bermain tarik tali.
Kau kata masih ramai yang ketawa ? Mengapa aku sahaja yang mengatakan bahawa ketawaku dicuri orang?
Benarkah kau tidak tahu? Atau kau berpurapura tidak mengetahui kesilapan yang kau lakukan? Sengihan yang kau citrakan agak memualkan. Tersisip sesuatu yang menjadi prasangkaku.
Begitukah kilas senyum para syaitan ?
Aku tahu, golongan tua masih boleh ketawa dengan gigi mereka yang rongak. Tapi ketawa itu nampak canggung. Semua itu ketawa palsu. Ketawa yang dilontar nampak dibuat-buat. Itu bukan ketawa yang asli. Ketawa yang kedengaran seperti pita rakaman yang dimainkan. Yah, ketawa yang sudah kehilangan perasaan.
Kau memang bijak memujuk. Kau pikat golongan tua itu dengan janji. “Setiap janji itu hanya gula-gula bahasa. Sudah bergenerasi, kata-kata itu hanya menjadi tugu.” Katakata itu pernah aku baca pada sebuah buku yang menulis tentang magis janji di setiap lembar halamannya.
Mengikut nasihat buku itu, aku membayangkan sebuah drama. Mereka diberikan pelbagai kemudahan dan pelbagai barang kelengkapan. Mereka perlu ketawa. Kalau boleh ketawa itu dilontarkan sekuat mungkin. Semakin kuat semakin bagus. Mereka perlu berkokok seperti ayam. Biar hanya sebiji telur tetapi perlu dihebohkan. Jika golongan tua itu ingkar, semua kemudahan itu akan ditarik balik. Janji dibalas dengan janji. Akhirnya mereka ketawakan kehancuran masa depan yang mereka ciptakan untuk anak-cucu mereka sendiri. Memang aku tidak akan mampu ketawa mendengar cerita tersebut.
Itu yang kau banggakan? Kau masih tidak mahu mengaku telah mencuri ketawaku? Kau tidak faham. Tidak faham atau sengaja tidak faham?
Biar aku bercerita : Seorang pemuda yang kaya ingin membina tugu. Tugu itu diperbuat daripada emas kerana emas adalah simbol kekayaan yang juga merupakan lambang keutuhan rizab dan simpanan. Ada fakir miskin meminta sedekah kepadanya tetapi tidak diendahkan. Fakir itu malah diherdik dan dilontarkan dengan kata-kata yang kejam. Antaranya, si fakir itu dikatakan sebagai golongan pemalas dan tidak mahu berusaha. Baginya membina tugu itu lebih penting. Tugu itu dibina untuk menggambarkan kebaikan hatinya. Mahu tahu tugu apakah itu? Tugu yang dibina memperlihatkan seorang lelaki yang membongkok memberikan sedekah kepada fakir miskin.
Sewaktu mengukir tugu yang setinggi 23 kaki tersebut, ramai pekerjanya yang juga merupakan fakir miskin telah terjatuh dan meninggal dunia. Itulah yang dikatakan syiar yang melebihi syariat.
Perlukah aku ketawa dengan cerita yang sedemikian yang memperbodohkan diriku?
Aku membuat sidang akhbar untuk menyatakan tindakan burukmu yang telah mencuri ketawaku. Bukan hanya seorang atau dua orang wartawan yang terlibat. Wartawan akhbar dan majalah tidak kira dari dalam negeri atau wartawan antarabangsa telah aku jemput. Flash kamera mengerdip di sana sini. Aku menjadi oknum penting yakni watak protagonis yang menggerakkan cerita tersebut. Itulah hasratku. Takkan si pencuri ketawa ( gelaran yang paling relevan untuk kau ) yang perlu dilonjakkan menjadi hero?
Memang hatiku memberengut dan terasa berparut. Mukaku cemberut. Aku terasa ingin mencarut. Aku yakin, kau membeli para wartawan itu yang akhirnya menulis sesuatu yang mengarut.
Pernyataanku jelas tetapi wartawan itu menulisnya dengan gaya yang samar. Wartawan tidak menceritakan aku yang kehilangan tawa yang telah kau curi tetapi mengatakan aku tidak mahu ketawa kerana ingin hidup dalam dunia sunyi. Dari sanalah pelbagai tohmahan dalam media maya timbul. Aku petik antara pernyataan yang keras : Kalau mahu mati dan mengintimi sunyi, jangan cuba menuduh orang lain mencuri ketawamu!
Siapa yang tuduh siapa? Dunia semakin galau dan dicelarukan. Semua jadi keliru: Siapa yang betul dan siapa yang salah?
Kau bertanya kepadaku, jika benar sejarah ketawa telah berakhir, apakah yang masih tersisa ? Kesenyapan? Sama sekali tidak. Ketawa yang hilang tidak mengundang kesenyapan. Akan ada suara berontak dari dalam. Suara-suara itulah yang akan meluahkan kebenaran daripada perit rasa. Suarasuara kemiskinan itu tidak perlu dibicarakan dengan mulut kerana mulut pastinya telah dijahit dengan ugutan, wang dan tawaran yang pelbagai. Kemiskinan itu dibicarakan dengan mata yang belum buta melihat segala kesusahan dan penderitaan. Ke mana perginya beritaberita itu?
Huh, memang ketawaku sudah hilang dan dicuri orang. Kaulah yang mencurinya!
Suatu ketika dahulu, masyarakat yang hidup dalam kesedihan dan kemiskinan dengan membanting tulang yang mengalirkan keringat pada siang hari akan disenyapkan segala perasaan itu melalui drama lipur lara yang akan dipersembahkan dalam bentuk sastera lisan, bangsawan dan sebagainya. Adakah kaedah yang sama akan digunakan sebagai satu bentuk eskapisme? Hati yang lara akan terhibur biarpun untuk masa yang singkat. Segala permasalahan akan hilang sebentar.
Cuma bentuk hiburan itu tidak sama dengan hiburan masa lalu. Hiburan kini diberikan dalam bentuk hadiah atau lebih tepat, diberikan dalam bentuk sogokan. Mereka akan berhibur dengan imbuhan yang sedikit itu. Imbuhan atau sogokan yang boleh menyebabkan mereka tersenyum tetapi tidak mampu membolehkan mereka ketawa.
Tidakkah kalian tahu bahawa ketawa kalian telah hilang ? Sebenarnya, bukan aku sahaja yang kehilangan ketawa. Masih tidak percaya ? Ketawa kita telah mati seperti matinya para pelawak terkenal.
Charlie Chaplin yang terkenal sewaktu era filem dalam hitam putih telah meninggal pada tahun 1977 di Switzerland. Dalam lawaknya tanpa suara, dia menjentik hati penonton dengan ciri badutnya. Tapi ciriciri lawak sebegini tidak dipraktikkan lagi. Lawaklawak yang sedemikian telah mati. Pelawak-pelawak tempatan juga ramai yang meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia, mereka tidak lagi menjadi pelawak. Ramai yang beralih angin menjadi pendakwah. Mengapa?
Pelawak-pelawak itu sendiri telah kehilangan ketawa. Naluri untuk menghibur audiens telah mati dalam jiwa mereka.
Sejarah ketawa adalah fana, tetapi ketololan lawak jenaka adalah abadi. Lawak jenaka pada zaman kita seperti mengulang kembali ke zaman sastera rakyat – sebuah keadaan yang berputar seperti roda. Faham apa yang aku katakan ? Kau tentu faham kerana kaulah antagonisnya. Hanya kalian sahaja yang masih kabur dengan apa yang aku katakan. Kalian perlu faham supaya kalian tahu bahawa kalian juga telah kehilangan gelak ketawa. Ketawa kalian itu ( jika ada ) adalah ketawa palsu.
Ingat cerita Pak Kaduk ? Kau pasti ingat akan cerita tersebut. Ketololan Pak Kaduk itulah yang abadi apabila berulang pada masa sekarang. Pak Kaduk hidup menderita apabila diperbodohkan hingga kampungnya tergadai setelah kalah dalam pertandingan menyabung ayam. Ayamnya telah ditukarkan dengan ayam raja. Masih ingat? Pak Kadok yang hanya berbaju kertas (yang dianggap pakaian terbaik untuknya untuk pergi ke tempat melaga ayam) adalah lambang kemiskinan atau juga lambang rapuhnya jiwa masyarakat. Disebabkan baju kertasnya itu jugalah, Pak Kaduk telah diketawakan apabila bajunya terkoyak hingga balik dalam keadaan telanjang. Orang kebanyakan yang ketawa pada Pak Kaduk sebenarnya telah mentertawakan diri mereka sendiri. Yah, orang sebeginilah yang menyebabkan aku kehilangan ketawa sekarang.
Sungguh. Aku tidak menyalahkan kalian kerana masih boleh ketawa. Hanya aku yang kehilangan ketawa dan aku masih menyalahkan kau – oknum yang menyebabkan aku kehilangan ketawa itu.
Ya, dunia kini adalah dunia media massa atau lebih tepatnya dunia laman sosial. Manusia akan rasa kesepian, janggal dan canggung jika tidak mengemas kini statusnya di laman sosial biarpun hanya memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah, bersifat keanakanakan atau status yang mengadu-domba. Yang penting, mereka ingin menguji populariti dengan melihat jumlah butang ‘Like’ yang ditekan. Ada kepuasan yang berkepul dan mengetul dalam diri. Dari status-status tersebutlah aku dapat kutip beberapa cerita.
Ada yang menulis tentang dunia yang sudah terbalik. Kata-kata yang telah menjadi klise.
Pernyataan ‘Dunia Telah Akhir Zaman’ hanya menjadi pengindah bicara. Namun, semua penaja noda dan dosa dari luar negara telah diagung-agungkan dan dilayan seperti raja terutama semasa pertukaran tahun. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengutuk minuman keras dan masalah pembungan bayi. Golongan-golongan pendakwah pula yang juga merupakan ahli agamawan yang diiktiraf di seluruh dunia telah disukarkan kehadiran mereka.
Situasi itu memang lawak tetapi aku tidak mampu untuk ketawa. Mengapa kau termangu?
Kau kehabisan kebijaksanaan untuk menyanggah kata-kataku. Kau ketawa ? Cara kau ketawa memang menyakitkan hati. Kenapa ramai yang masih tidak percaya dengan kata-kataku bahawa ketawaku telah dicuri?
Malam sudah semakin gelap. Jika hatiku mampu dilihat dengan mata kasar, mungkin kegelapannya melebihi suasana malam. Aku menerima whatapps daripada rakan-rakan di pedalaman. Satu lagi pernyataan yang lucu tapi menyebabkan hati kian sedih, resah dan rusuh.
“Bagaimana kami nak menegakkan hak dan menyatakan kebenaran? Getah keping yang kami proses akan dibeli kurang 30 sen oleh peruncit daripada harga pasaran untuk setiap kilogram.
Memang samseng itu tidak mengugut kami. Samseng itu mengugut peruncit dan kami menjualnya pula dengan peruncit kerana hanya itu sajalah caranya. Peruncit itu pasti tidak mahu membuat laporan. Itulah amalan sejak dahulu. Kami pula tidak boleh membuat laporan kerana bukan kami yang diugut. Yang ruginya bukan peruncit, tapi kami …”
Terasa ada kesakitan yang menyucuk-nyucuk dada tatkala bernafas dalam dunia yang penuh dengan kesenjangan. Dunia sudah semakin tua daripada kebenaran. Kebenaran yang berkedut menghampar kehidupan yang berserabut. Pada satu saat nanti, dunia ini akan dikuasai oleh Dajal hingga manusia tidak boleh membezakan antara yang baik dan buruk. Sudah semakin hampirkah makhluk itu keluar dari muka bumi? Tiba-tiba aku teringatkan Surah al-Kahfi – 10 ayat pertama dan
10 ayat terakhir – yang belum aku hafal untuk menjadi pendinding daripada fitnah Dajal.
Kenapa kau ketawa ? Kau gembira setelah mencuri ketawaku? Atau kau ketawa kerana aku belum menghafal Surah al-Kahfi yang akan mendedahkan aku dengan fitnah Dajal? Aku akan melakukan usaha yang terakhir. Aku akan bawa kau ke muka keadilan.
Ada ketukan di pintu. Siapa yang mengetuk pada waktu malam sebegini? Para hantu? Tidak.
Hantu tidak akan mengetuk pintu. Hantu akan terus menerjah masuk. Jadi, siapa yang berada di luar? Pencuri? Tiada apa yang perlu dicuri daripadaku lagi. Aku telah kehilangan segalanya. Aku telah kehilangan ketawa. Jadi, jika mahu mencuri… mengapa perlu mengetuk pintu dan meminta izin? Itu bukan sifat pencuri.
Aku membuka pintu. Aku terbancuh bersama gelap malam dari luar. Angin yang masuk dari pintu yang terbuka terus menyentak dan menghentakku.
Kalian tahu apa yang berlaku ? Kalian masih ambil peduli? Aku diheret keluar dari rumah pada malam itu kerana dikatakan telah hilang akal. Aku dikatakan tidak siuman atau lebih tepatnya dikatakan : GILA.
“Tidak ada siapa yang boleh mencuri ketawamu. Hanya orang gila yang kehilangan ketawa.”
Songsang bukan? Orang gila selalunya tidak boleh lari dari sifatnya yang suka ketawa. Aku pula dikatakan gila kerana tidak boleh ketawa.
Hahahahaha … Itu bukan aku yang ketawa. Itu orang lain yang ketawa. Memang orang yang datang ke rumahku tadi adalah pencuri.
Ya, mereka mencuri kebebasanku setelah kau mencuri ketawaku !
Pernyataan ‘Dunia Telah Akhir Zaman’ hanya menjadi pengindah bicara. Namun, semua penaja noda dan dosa dari luar negara telah diagung-agungkan dan dilayan seperti raja terutama semasa pertukaran tahun. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengutuk minuman keras dan masalah pembungan bayi. Golongan-golongan pendakwah pula yang juga merupakan ahli agamawan yang diiktiraf di seluruh dunia telah disukarkan kehadiran mereka.
Situasi itu memang lawak tetapi aku tidak mampu untuk ketawa. Mengapa kau termangu?
Kau kehabisan kebijaksanaan untuk menyanggah kata-kataku. Kau ketawa ? Cara kau ketawa memang menyakitkan hati. Kenapa ramai yang masih tidak percaya dengan kata-kataku bahawa
dicuri? ” ketawaku telah