Skuad Liga Super S’wak 2017 tampil 80% pemain tempatan
KUCHING: Skuad Liga Super Sarawak bagi musim depan akan menampilkan 80 peratus pemain tempatan, sekali gus mengurangkan pengambilan import tempatan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Abdul Wahab Rahim berkata keputusan itu diambil bagi memberi lebih banyak peluang kepada anak tempatan beraksi dan berdasarkan penilaian ketika ini, sebahagian besar pemain tempatan yang ada dalam skuad musim ini akan dikekalkan.
Namun katanya, kuota untuk pemain import asing akan dipenuhi walaupun skuad itu mungkin akan bermula dengan seorang atau dua pemain import sahaja pada awal musim.
“Mungkin kita akan penuhi kuota pemain import asing apabila pintu perpindahan pemain dibuka semula pada pertengahan musim 2017,” katanya.
Sarawak yang menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, di sini semalam, kekal dalam saingan Liga Super musim depan selepas menamatkan musim ini di tangga kelapan dengan 24 mata hasil daripada enam kemenangan, enam seri dan kalah 10 kali.
Pada masa sama, Abdul Wa- hab berkata skuad Sarawak akan tampil dengan sasaran sederhana pada musim depan.
Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, David Usop ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi berkata beliau gembira kerana pasukannya berjaya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Menurut David, pasukan itu sememangnya berhak untuk meraih kemenan- gan ke atas PDRM kerana mempamerkan permainan yang lebih baik dan bertenaga selepas berehat selama sebulan.
Mengenai kedudukannya untuk musim depan, David yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada Robert Alberts pada pertengahan musim berkata beliau menyerahkan nasibnya kepada pucuk kepimpinan FAS yang baharu. — Bernama