Anggota MCA diminta manfaatkan media sosial tepis tuduhan pembangkang
BENTONG: Anggota MCA diminta memanfaatkan media sosial untuk memberikan penerangan terperinci berkaitan segala isu membabitkan komuniti Cina yang sering digunakan pembangkang sebagai dakyah memburukkan kerajaan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka berkeupayaan menangkis segala tuduhan liar pembangkang itu dengan berkesan menerusi teknologi multimedia dan ruang siber yang kini mudah dicapai melalui telefon pintar.
Beliau berkata anggota MCA perlu menerangkan dengan terperinci berkaitan mana-mana isu dihadapi komuniti Cina yang tidak dapat diselesaikan, sebab pembangkang seperti DAP akan menggunakan isu itu semata-mata untuk mendapatkansokongan.
“Ahli MCA boleh menggunakan telefon (pintar) yang masing-masing ada, dan telefon ini sekarang sudah ada teknologi multimedia serta ruang siber untuk sampaikan mesej-mesej benar kepada komuniti Cina.
“Kita tahu masyarakat Cina pun sudah kecewa dengan pembangkang yang menggunakan pelbagai usaha untuk menanam hasad dengki antara kaum tetapi tidakada apa-apa manfaat diberikan kepada kaum Cina, sentiasa gunakan isu, tetapi tidak bantu komuniti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan MCA Pahang di sini, semalam.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata anggota MCA juga perlu berperanan menyampaikan maklumat tepat kepada komuniti Cina mengenai segala pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat.
“(Hanya) BN boleh beri khidmat baik kepada rakyat, bukan pembangkang yang sering omong kosong dan bergaduh sesama sendiri.
“Kita (kerajaan BN) akan cari pelbagai cara untuk meningkatkan ekonomi negara, apa- bila ekonomi negara semakin meningkat, semua kaum akan mendapat manfaat,” katanya.
Beliau turut meminta anggota MCA melaksanakan pelbagai program membabitkan akar umbi dalam usaha mendekatkan parti dengan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. — Bernama