Bajet 2017 penuhi keperluan rakyat dan kebertanggungjawaban kerajaan
SEREMBAN: Bajet 2017 mampu memberi impak besar ke arah membina negara bangsa yang mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan rakyat keseluruhannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) Amran Zakaria.
Beliau berkata pelbagai peringkat masyarakat, golongan dan kumpulan akan menerima manfaat daripada pembentangan bajet kali ini.
“Penjawat awam, masyarakat luar bandar termasuk nelayan, petani, penoreh, penjaja dan pemandu teksi akan menerima hak yang sepatutnya diterima den- gan rasa syukur dan penuh penghargaan.
“Masyarakat secara keseluruhannya benar- benar merasai suasana hidup lebih sejahtera dan berkeyakinan tinggi kepada kerajaan apabila aspek keselamatan dan keamanan diberi tumpuan bermatlamat untuk menjamin hak rakyat seperti mana termaktub dalam perlembagaan,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp di sini, semalam.
Bajet 2017 bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Jumaat lepas.
Amran berkata bajet kali ini selari dengan tuntutan agama yang menekankan aspek kesejahteraan hidup, kesederhanaan, kebajikan dan kecaknaan serta memelihara nikmat perpaduan dengan mengutamakan aspek keamanan dan keselamatan negara.
“Bajet ini berupa sumbangan daripada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mengimbangi kebajikan, berstrategi dan berpandangan jauh melalui sasaran Transformasi Nasional 2050,” katanya. - Bernama