Rajagobal berpuas hati dengan kualiti barisan pemainnya
KUCHING: Pengendali Sarawak, Datuk K Rajagobal berpuas hati dengan kualiti dan mutu permainan pemainpemainnya pada perlawanan persahabatan menentang skuad muda, Piala Presiden Sarawak apabila menang besar 5-0 di Padang Stadium C di sini petang semalam.
Menurutnya, meskipun cuma perlawanan pemanas badan beliau ternyata amat gembira dengan persefahaman baik yang ditunjukkan pemain-pemain baharu dan lama sepanjang perlawanan itu.
Beliau turut memuji aksi pemain-pemain muda skuad Piala Presiden Sarawak yang berjaya memberikan tentangan sengit kepada skuad senior Sarawak.
“Pemain-pemain menunjukkan petanda positif dengan mempamerkan persefahaman yang baik serta berjaya mengikut apa yang ditunjuk ajar selama ini,” katanya mengulas perlawanan itu semalam.
Rajagobal berkata, ini sangat penting kerana akan memberi keyakinan kepada pemain-pemain apabila berdepan lawan yang lebih sukar pada saingan Liga Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, beliau akui skuad kendaliannya masih memerlukan lebih banyak masa bagi memantapkan kombinasi antara pemain-pemain terutamanya barisan pemain baharu.
Menjelas lanjut, beliau turut berpuas hati dengan persembahan dua pemain import yang sedang menjalani ujian iaitu Davide Garisa dan Joseba Garmendia pada perlawanan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada kedua-dua pemain import itu sah bersama skuad Sarawak musim ini.
“Setakat ini, 98 peratus pemain-pemain telah lengkap dan senarai penuh skuad Sarawak 2016 akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, banyak lagi perlawanan persahabatan akan diadakan termasuk perlawanan pra-musim yang akan diumumkan.
Mengulas undian Piala FA 2016 pertemuan Sarawak menentang Perak, Rajagobal berkata: “Pihaknya bersedia menerima mana- mana pasukan namun fokus utama ditumpukan terhadap permulaan kempen Liga Super pada 13 Februari depan”.