KIBW akan dianjur pada skala lebih besar
Acara promosi Sarawak berjaya menarik ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi
“
Acara ini telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sarawak dan kita berharap KIBW dianjurkan dengan skala lebih besar dan menarik pada tahun hadapan dengan mengumpulkan semua peminat dan penunggang motosikal
“berkuasa tinggi pada masa akan datang. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar)
KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu penganjuran Kuching International Bike Week (KIBW) diadakan dengan lebih mengagumkan dengan menjemput lebih ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Menurut beliau, KIBW yang diadakan dua tahun sekali itu ternyata menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat serta penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pada tahun ini dianjurkan dengan jayanya.
“Apabila penganjur datang berjumpa dengan saya untuk membantu dalam menganjurkan acara ini, saya agak ragu-ragu sama ada ia mampu menjadi kenyataan namun hari ini ia ternyata amat berjaya.
“Ia acara yang di luar jangkaan dan merupakan hasil sokongan serta kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, penaja, agensi kerajaan, agengsi penguatkuasaan selain dua kementerian iaitu Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pembangunan Sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Malam Penghargaan KIBW 2015 yang dihadiri isteri Ketua Menteri juga Penaung KIBW Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, pengerusi pengelola juga Presiden ITBCK Datin Elly Zalilah serta Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad di sini, malam kelmarin.
KIBW 2015 yang diadakan pada 3 hingga 6 September lepas merupakan anjuran Iron Tiger Bikers Club Kuching (ITBCK) dan disertai lebih kurang 1,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada sembilan negara termasuk Malaysia.
Tambah Abdul Karim, kini acara berkenaan telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sarawak sekali gus platform untuk menganjurkan acara lebih besar pada tahun 2017.
“Acara ini telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sarawak dan kita berharap KIBW dianjurkan dengan skala lebih besar dan menarik pada tahun hadapan dengan mengumpulkan semua peminat dan penunggang motosikal berkuasa tinggi pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, pada majlis sama penunggang motosikal berkuasa tinggi Sarawak, Alex Wong menyampaikan cek bernilai RM32,000 untuk Yayasan Jantung Sarawak yang diserahkan kepada Jamilah.
Wong meraih dana berkenaan selepas memenangi bidaan amal untuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyanyikan dua lagu semasa Majlis Makan Malam Gala KIBW pada 5 September lepas.