Utusan Borneo (Sarawak)

Dua mangsa MH17 dijangka disemadi di Putrajaya

-

PUTRAJAYA: Dua jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbanga­n MH17, yang dijadual tiba di tanah air pada Jumaat ini, dijangka dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam di Taman Selatan di Presint 20 di sini.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmat­an Komuniti, Jabatan Perkhidmat­an Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj) Zailani Hashim berkata selepas selesai istiadat penghormat­an penerimaan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabang­sa KL (KLIA) di Sepang, kedua-dua jenazah itu akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk solat jenazah.

“Jenazah berkenaan akan dikebumika­n selepas Solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam di Presint 20,” katanya kepada media selepas taklimat pengurusan pengebumia­n jenazah MH17 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, semalam.

Menurutnya Taman Selatan yang seluas 86.78 hektar mempunyai plot perkuburan Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Kita mempunyai banyak ruang di Tanah Perkuburan. Kami bersedia menerima jenazah lain sekiranya ada keluarga yang berhasrat mengebumik­an mangsa di Tanah Perkuburan Presint 20,” katanya.

Kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 itu akan tiba di KLIA dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam pada kira-kira jam 10 pagi Jumaat ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan.

Turut dijadual hadir pada istiadat itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.

Kerajaan juga mengisytih­arkan Jumaat ini sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah itu.

Penerbanga­n MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia