Model Green Box Bright Up Kiosk suntik semangat pelajar dalam bidang STEM
KUCHING: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah menggesa semua sekolah di Tarat membeli sebuah model Green Box Bright Up Kiosk dalam usaha menyuntik semangat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Green Box Bright Up Kiosk yang telah dilaksanakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa Kuching di Balai Raya Kampung Bunga di sini.
“Sarawak juga menuju ke arah pendigitalan dalam pelbagai bidang, Smart City, kemudahan pengangkutan awam moden dan pendigitalan ekonomi dalam memasarkan produk dan perkhidmatan dalam dan luar negeri.
“la memerlukan tenaga muda yang sedia menyahut peluang untuk mengisi kepakaran dalam bidang tersebut, maka sepadanlah pelajar diberi pengenalan kepada Green Box Bright Up Kiosk.
“Perkara ini sejajar dengan sasaran MEITD untuk nisbah 60:40 dalam pendidikan STEM perlu diterajui semua pihak bermula dari pendidikan sekolah rendah hingga sekolah menengah,” katanya di sini, semalam.
Sarawak sedang dalam usaha melahirkan masyarakat lestari Society 5.0 seiring dengan hala tuju negara maju seperti Jepun dan Eropah yang mengutamakan kebajikan masyarakat dalam semua jenis inovasi teknologi.
Pada masa yang sama, Sarawak juga kaya dengan pelbagai sumber tenaga sedang menuju ke arah tenaga hijau atau tenaga diperbaharui seperti hidrogen dan tenaga solar.
“Perkara yang kita perlu daripada teknologi ialah kemahuan seperti ekonomi yang sihat, penambahbaikan kebajikan manusia serta memberi lebih banyak peluang untuk berkembang dan nilai sosial sebagai masa depan untuk masyarakat setempat,” tegasnya.
Sementara itu, guru pembimbing SMK St. Teresa Kuching, Sri Ganapathy Krishnen berkata, konsep pembelajaran Green Box Tool
Kit juga menepati modul 7 dalam Transformasi Sekolah 2025 (TS25) iaitu ke arah inovasi dan pendigitalan pendidikan.
“Projek kami yang seterusnya ialah solar bright up kiosk dan penggunaan Artificial Intelligent (AI) dalam kiosk untuk memudahkan penggunaan yang lebih mantap,” ujarnya menjelaskan.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus.