Aidilfitri tetap dirayakan dengan syukur di sebalik SOP COVID-19
BERAKHIRNYA bulan Ramadan menandakan bulan Syawal berkunjung tiba. Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2021 di Malaysia menurut kalendar Islam 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), umat Islam menyambut Hari Raya Puasa tahun ini pada hari Khamis, 13 Mei bersamaan dengan 1 Syawal 1442 Hijrah.
Selepas bulan Syawal berikut adalah tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam iaitu 1 Zulhijjah(11 Julai 2021) Awal Zulhijjah, 10 Zulhijjah (20 Julai 2021) Hari Raya Korban/Aidiladha, 1 Muharam 1443 (10 Ogos 2021) Awal Muharam/ Maal Hijrah dan 12 Rabiulawal 1443 (19 Oktober 2021) Maulidur Rasul.
CARA PENETAPAN HARI RAYA PUASA DI MALAYSIA
Kaedah penetapan Hari Raya Puasa adalah berdasarkan kepada rukyah(merupakan bentuk doa) dan hisab. Penyeragaman sejak dari tahun 1992 di kalangan negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei telah menyaksikan kesemua umat Islam di negara-negara ini menjalankan ibadah puasa dan berhari raya serentak.
Perbincangan menterimenteri agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersetuju menetapkan puasa dan hari raya dengan gabungan kaedah rukyah dan hisab. Tetapi kriteria imkanur- rukyah (kebolehnampakan) yang digunakan di resolusi
Persidangan Negara Negara Islam di Istanbul pada 1978 telah diubah suai dengan menetapkan anak bulan dikira nampak dan boleh dilihat jika mengikut hisab anak bulan berada di kedudukan berikut pada hari rukyah:- (a) anak bulan berada pada ketinggian tidak kurang dari 2 darjah di ufuk barat ketika matahari terbenam, dan (b) jarak lengkung anak bulan ke matahari ketika matahari terbenam tidak kurang dari 3 darjah, atau (c) umur anak bulan ketika bulan terbenam pada hari rukyah tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak (bulan baharu) berlaku.
Seperti tahun lepas, tahun ini masyarakat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sederhana ekoran orang ramai di bandar-bandar mahupun di desa-desa harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.
Bagi warga Sarawak dan Sabah mereka mematuhi SOP PKPB COVID-19 dan hanya dibenar meraikan Aidilfitri dalam kalangan keluarga terdekat sahaja pada hari raya pertama.
Penulis sempat merakamkan gambar secara dalam talian sebahagian daripada keluarga-keluarga yang meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, bermula dari keluarga yang berada di Lundu, Kuching, Sibu hingga ke Limbang.
Pada tahun ini masyarakat Islam di Sarawak sangat bersyukur kerana kemuncak bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri dapat ditunaikan dengan bersolat di masjid dengan kapasiti yang ditetapkan oleh jawatankuasa sesebuah masjid.
Bagi penduduk di sekitar Kampung Demak Baru, Sepakat Jaya dan kawasan Pine Villa mereka menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Demak Baru dengan kirakira seramai 600 jemaah.
Meskipun jauh di perantauan dan tidak dibenar rentas daerah atau negeri dan tentunya tidak dapat menziarahi ibu bapa atau sanak saudara, namun masyarakat Islam tetap juga meraikan Hari Raya Aidilfitri di tempat di mana mereka berada atau bertugas secara sederhana serta patuh SOP.
Masyarakat Islam sentiasa berdoa dengan penuh harapan agar sambutan Aidilfitri diraikan dengan lebih meriah seperti sebelum kemunculan pandemik COVID-19, pada tahun-tahun akan datang.