Keputusan JPBNS melanjutkan PKPB adalah tepat: Dr Hazland
KUCHING: Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ‘Circuit Breaker’ dari 18 Mei hingga 7 Jun 2021 adalah tepat bagi melandaikan lekuk penularan COVID-19 di Sarawak.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni, tempoh tiga minggu ini adalah penting bagi memastikan pandemik itu dapat ditangani dengan cara yang lebih berkesan.
“Orang ramai terutama masyarakat, peniaga dan agensi kerajaan harus meningkatkan kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di peringkat kampung dan rumah panjang pula perlu tegas dengan meningkatkan pengawasan komuniti dan penguatkuasaan,” katanya kepada media semalam.
Dalam pada itu, katanya, usaha pendaftaran bagi mendapatkan vaksin harus dipertingkatkan untuk memastikan 80 peratus populasi Sarawak menerima vaksin COVID-19.
Pada masa sama, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menyeru semua masyarakat mematuhi SOP khususnya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini dan Hari Gawai yang akan dirai masyarakat Dayak tidak lama lagi.
“Teruskan patuhi SOP PKPB ‘Circuit Breaker’ yang telah dikuat kuasa sebelum ini dengan larangan merentas daerah dan bahagian kecuali atas tujuan tertentu.
“Begitu juga dengan tidak membenarkan mengadakan majlis sosial seperti kendurikendara, majlis perkahwinan dan persandingan, majlis pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, ‘reunion,’ ‘retreat’ dan lain-lain majlis sosial,” tambahnya.
Jelasnya, kerjasama masyarakat penting dalam usaha memastikan kes COVID-19 dapat diturunkan dan ditangani dengan lebih berkesan.