Penduduk disaran ikut pesanan SMS untuk janji temu vaksinasi
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee menyarankan penduduk setempat untuk mengikuti pesanan SMS yang dihantar oleh Klinik Kesihatan Sandakan dengan nombor 089-668806 berkenaan waktu dan tempat yang ditentukan bagi temujanji mendapatkan vaksinasi masing-masing.
Beliau berkata, sejak minggu lalu, ramai orang menggunakan aplikasi MySejahtera untuk jadual janji temu atau pesanan teks yang dikirim oleh Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan vaksinasi ini.
Namun difahamkan berikutan kekurangan tenaga kerja, waktu janji temu beberapa orang telah diubah dari mesej yang dihantar melalui aplikasi itu.
Justeru, waktu janji temu yang paling tepat dan terkini adalah melalui mesej SMS 089-668806.
Vivian menyatakan perkara itu dalam kenyataannya berhubung kekeliruan orang ramai berkenaan janji temu vaksinasi sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau SMS berkenaan semalam.
Di samping itu, Vivian juga mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Persekutuan yang tidak peka melihat keperluan semasa sama ada kakitangan perubatan tempatan mencukupi dan adakah lokasi vaksinasi itu dapat menampung jumlah orang yang mendapatkan vaksinasi ini.
Di beberapa daerah dan bandar, keadaan urusan vaksinasi ini dilihat agak sedikit tidak begitu lancar dan Sandakan adalah satu contohnya.
“Kementerian Kesihatan harus menyerahkan kuasa kepada cawangan jabatan kesihatan setempat sehingga mereka dapat mengaturnya dengan sebaiknya dan kaki- tangan mereka sendiri dapat melakukan vaksinasi kepada masyarakat tanpa menanti arahan seterusnya yang juga dapat menghindari kekeliruan,” katanya.
Vivian mengatakan bahawa perubahan waktu janji temu juga menyebabkan beberapa orang hanya tahu mengenainya setelah ketibaan ke lokasi vaksinasi.
Beliau berkata, Pasukan Pusat Khidmat Parlimen P186 Sandakan juga telah membantu orang ramai yang hadir ke program vaksinasi itu di Dewan Masyarakat Bandar ini dalam beberapa minggu yang lalu.
Oleh kerana ramai warga emas tidak boleh berbahasa Melayu, ahli pasukan bercakap Hakka, Kantonis, Mandarin dan Hokkien untuk menjelaskan beberapa proses vaksinasi itu kepada mereka.
Dalam pada itu, beliau juga meminta dan berharap kumpulan untuk fasa kedua vaksinasi ini diberi keutamaan untuk mereka yang sudah mendaftar pada bulan Februari dan Mac yang ketika ini ada yang belum diberi waktu janji temu.
Mereka yang berkenaan juga boleh WhatsApp nama dan nombor Mykad mereka ke 010-8073313 di mana pasukannya akan membantu dalam membuat susulan lanjut kepada pihak berkenaan dan mengemukakan masalah ini kepada pihak Kementerian Kesihatan.
Katanya, vaksinasi ini juga penting dalam mencapai imunisasi kelompok seperti yang diharapkan sebelum ini.
Beliau turut berharap kepada sesiapa yang belum ada janji temu jangan datang dan menunggu di lokasi vaksinasi di Dewan Masyarakat Sandakan kerana ini akan menyebabkan kesesakan dan dikhuatiri mungkin menjadi kluster baharu.