Utusan Borneo (Sabah)

Pesakit perlu ketahui keadaan jantung sebelum kembali aktif

-

ALOR SETAR: Setiap individu yang pernah mengalami serangan jantung, perlu mengetahui tahap atau kondisi jantung mereka terlebih dahulu sebelum memulakan kembali aktiviti fizikal seperti biasa.

Pakar Jantung Kedah Medical Centre (KMC) Dr Abdul Rahim Tahir berkata, perkara itu penting bagi memastikan jantung mereka benar-benar ‘bersedia’ dan boleh menerima bebanan akibat melakukan aktiviti seperti kerja rumah yang berat atau rutin kerja sebelum pesakit mendapat serangan.

“Secara umumnya bila dapat serangan jantung, perkara pertama yang pesakit kena tahu dan tanya pada doktor ialah, apakah tahap serangan jantung yang dialami, adakah tahap biasa atau berdepan masalah unstable? Tanya sahaja macam tu sebab doktor akan bagi panduan.

“Kalau doktor kata ada masalah serangan jantung tapi stabil, jantung tak lemah atau bengkak, itu agak mudah dan kalau ada masalah jantung lemah dan bengkak itu bahaya, jadi penting untuk tahu bab ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengenai tempoh masa sesuai yang diperlukan sebelum pesakit kembali memulakan sebarang aktiviti fizikal seperti senaman berat, Dr Abdul Rahim berkata, biasanya dalam minggu pertama selepas terkena serangan jantung, pesakit sudah dibenarkan bergerak secara terkawal dalam rumah.

“Di samping makan ubat, kawal tekanan darah atau gula, biasanya pesakit dibenarkan bergerak dalam rumah buat perkara biasa kita buat tanpa guna tenaga yang banyak.

“Angkat benda berat macam tong gas atau dukung anak, tak digalakkan dalam minggu pertama, kerana aktiviti itu mungkin membebanka­n jantung kita. Kalau dada rasa sakit, kena slow down dan jangan buat banyak benda,” kata Dr Abdul Rahim.

Katanya, aktiviti fizikal boleh ditingkatk­an selepas seminggu atau dua minggu, namun pesakit dinasihatk­an agar tidak memaksa diri melakukan pergerakan yang berlebihan supaya jantung tidak ‘terkejut’.

“Boleh keluar rumah, lakukan jalan kaki jarak dekat dalam 500 meter, jangan paksa diri dan selepas minggu pertama berjalan, cuba naik tangga dengan kepantasan biasa ke tingkat pertama rumah misalnya, jika tiada sebarang simptom atau tak penat, kita dah bersedia lakukan aktiviti lebih berat,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahim berkata, bagi pesakit yang mengalami masalah lemah jantung atau jantung bengkak, garis panduannya adalah berbeza dan perlu mengambil langkah lebih berjaga-jaga.

“Boleh buat aktiviti ringan, tapi bila rasa penat dan berdebar-debar kena kurangkan aktiviti, kena banyak rehat, tak semestinya hanya baring, boleh bergerak dalam rumah, sesekali keluar rumah ambil udara segar.

“Bila buat aktiviti siapkan ubat bawah lidah dalam bentuk biji atau sembur. Kalau ada masalah seperti rasa ketat dada, tenangkan fikiran, rehat, slow down, ambil nafas dalam dan makanlah ubat yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, pesakit yang mengalami lemah jantung juga disarankan agar sentiasa ‘dekat’ dengan telefon dan segera hubungi untuk bantuan jika masalah seperti ketat dada tidak beransur pulih walaupun sudah berehat dan makan ubat.

Katanya, ada pesakit yang mengalami serangan jantung mengambil masa agak lama untuk pulih sepenuhnya dan jika tidak mendapat rehat secukupnya semasa dalam tempoh pemulihan, keadaan mungkin akan bertambah serius.

“Ikutlah saranan doktor yang merawat, ahli dietetik, pakar farmasi dan jangan mudah menerima pelbagai maklumat tidak tepat daripada rakan-rakan. Jika keliru, jumpa dan mintalah nasihat pakar,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia