PDRM guna khidmat PGA bantu lancarkan PRN12
Sumber tenaga manusia dimanfaatkan sepenuhnya pastikan tiada penambahan anggota dari luar Sarawak
SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan menggunakan khidmat Pasukan Gerak Am (PGA) bagi membantu melancarkan Pilihan Raya Negeri Ke12 (PRN12) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga manusia untuk memastikan tidak akan ada penambahan anggota dari luar Sarawak.
“Kita sekarang ini memang hendak pergi kepada kaedah untuk tidak ada (tiada penambahan anggota dari luar kontijen Sarawak).
“Bagaimanapun, kalau betul-betul kita tidak dapat menampung mungkin kita dapatkan bantuan daripada IPK Sarawak, PGA, Polis Marin, Pusat Latihan dan Sukarelawan Polis,” katanya semalam.
Terdahulu Fisol mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini, sejak dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya polis Sarawak yang baharu pada 17 November lalu.
Menurut Fisol, beliau juga akan berkunjung ke
IPD lain di seluruh negeri dalam masa terdekat untuk memastikan segala bentuk persiapan lain dalam menghadapi bencana dan pandemik COVID-19 dalam keadaan siap sedia.
Katanya, pasukan pemantau PDRM akan digerakkan secara berterusan walaupun perkembangan pandemik di Sarawak menunjukan petanda baik.
“PDRM yang merupakan agensi induk bersama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di seluruh daerah bagaimanapun tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan itu.
“Pasukan pemantau harus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa menjadi keutamaan dan bukan hanya mencari kesalahan sahaja,” jelas beliau.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.
Kita sekarang ini memang hendak pergi kepada kaedah untuk tidak ada (tiada penambahan anggota dari luar kontijen Sarawak). Datuk Fisol Salleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak