LFA amal patuhi SOP tinggi anjur kejohanan besar
LIMBANG: Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi terhadap penganjur dua kejohanan besar iaitu Liga Belia dan Futsal Tertutup diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Presiden LFA yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pihaknya akur terhadap arahan kerajaan tidak membenarkan penganjuran sebarang kegiatan sukan ketika PKP dikuatkuasakan Mac lalu.
Bagaimanapun, selepas arahan dikeluarkan kerajaan membenarkan aktiviti sukan utama seperti bola sepak diadakan pada Ogos lalu pematuhan SOP tetap ditekankan termasuk kalangan pemain.
“Tahun ini, LFA hanya menganjurkan dua kejohanan besar iaitu Liga Belia bawah 23 tahun dan Futsal mengikut SOP ditetapkan berbanding tujuh kejohanan diadakan setiap tahun,” katanya ditemui media pada Final Liga Belia bagi merebut Piala Alidin antara Pasukan ABC Club Tiga dan Harimau Bara di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.
Turut sama Timbalan
Presiden LFA Frederick Lalung, Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab dan jawatankuasa tertinggi LFA.
Pada kejohanan itu, Harimau Bara muncul juara selepas menundukkan ABC Club Tiga dengan 1-0 sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500, kedua (RM1,000) piala dan pingat.
Manakala pasukan LBA dan Project Youth berkongsi kedudukan ketiga bersama menerima RM500 piala dan pingat.
Sebanyak tujuh pasukan mengibar cabaran pada kejohanan itu.
Dr Abdul Rahman berkata, LFA merupakan persatuan sukan aktif menganjurkan kejohanan sukan di Sarawak.
Beliau menjelaskan, Limbang mempunyai tujuh liga dianjurkan sejak 2010 termasuk Liga Super, Premier, FA, Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Piala Veteran dan Liga Belia, Futsal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata turut diadakan kejohanan Futsal Tertutup Limbang pada 12 dan 13 Disember ini.
“Kejohanan itu terbuka kepada pemain-pemain bawah 12 tahun serta kategori lelaki dan wanita tertutup,” katanya.