KPT komited tingkat keterlibatan pemain industri untuk perkasa TVET
Pencapaian graduan Politeknik dan Kolej Komuniti melebihi 95 peratus setiap tahun
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan keterlibatan pemain industri bukan sahaja dalam kerjasama latihan industri dan pekerjaan, malah dalam pembentukan kurikulum, dasar pendidikan, dan peluang pekerjaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia sebagai usaha bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Beliau berkata, Majlis Penasihat Industri (IAC) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada 10 September lalu telah mendengar situasi semasa yang dihadapi oleh pihak industri dan cabaran serta peluang yang ada untuk kebolehpasaran graduan TVET dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara.
Bertemakan Norma Baharu Pekerjaan Pasca Pandemik COVID-19, perkongsian daripada pihak Malaysian Employers Federation (MEF) dibentangkan dalam mesyuarat IAC JPPKK tersebut.
Menurutnya, sebagai penyedia TVET utama di Malaysia, mesyuarat itu merupakan platform terbaik untuk JPPKK memantapkan lagi kolaborasi di antara industri-akademia bagi membuka peluang dan ruang dalam menghasilkan graduan holistik dan seimbang sekali gus dapat meningkatkan lagi kebolehpasaran TVET.
“Penglibatan industri di dalam program-program seperti Focus Group Dialogue, National Industry Dialogue dan Employability Advisory Committee juga dapat memberi input dan maklum balas antara industri-akademia dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET sekali gus melahirkan graduan yang rebutan industri,” katanya.
Sebagai rekod, IAC JPPKK ditubuhkan pada April 2008 untuk mendapatkan input dan maklum balas industri terhadap teras strategik JPPKK selain menghubungkan jabatan dengan industri bagi tujuan kerjasama dan perkongsian pintar.
IAC JPPKK terdiri daripada 17 peneraju industri dari pelbagai bidang seperti pembuatan, pembinaan, logistik, peruncitan, perkhidmatan, kejuruteraan, keusahawanan, teknologi maklumat dan juga perbankan.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, dari 2018 sehingga 2020, politeknik dan kolej komuniti telah berjaya menghasilkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan.
Beliau berkata, ada di antara graduan terbabit mampu menjana pendapatan sehingga mencecah lima angka dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, bahawa pencapaian graduan politeknik dan kolej komuniti amat membanggakan yang melebihi 95 peratus setiap tahun berdasarkan dapatan kajian kebolehpasaran.
Menurutnya, ini membuktikan graduan politeknik dan kolej komuniti mendapat tempat dan menjadi pilihan majikan serta industri dan berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti universiti.
“Terdapat juga graduan politeknik dan kolej komuniti yang berjaya membina kerjaya di luar negara dan ini telah kita terapkan melalui program pengantarabangsaan.
“Program ini mendedahkan pelajar kepada peluang kerjaya global menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa dan program latihan industri luar negara,” katanya.
Noraini menambah, pencapaian pelajar di peringkat negara dan antarabangsa turut membanggakan dengan meraih pingat, kemenangan serta pengiktirafan melalui pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi, sukan dan sebagainya.
“Antara platform yang mengharumkan nama politeknik dan kolej komuniti adalah Pertandingan FIRA RoboWorld Cup, WordSkills Competition, Abilympics (Olympics of Abilities) bagi pelajar orang kurang upaya (OKU), Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Pertandingan MySkills, SUKIPT, Universiade, SUKMA, Sukan SEA dan lain-lain lagi,” tambahnya.
Berhubung isu kebolehpasaran graduan, Noraini berkata, TVET membantu mengatasi permasalahan tersebut antara lain menerusi pelaksanaan program reskilling, upskilling dan crosskilling seperti yang ditawarkan di bawah program PENJANA KPT-CAP bagi membantu memastikan pelajar dapat pekerjaan selepas mengikuti latihan tersebut.
Beliau berkata, kerjasama dengan pihak industri dengan mengadakan program khusus seperti Work-based learning dan Structured Internship Programme bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.
“Selain itu, TVET membantu mengatasi isu kebolehpasaran graduan dengan memberi pengetahuan dan kemahiran yang dapat membantu pelajar untuk mencari pekerjaan juga bekerja sendiri.
“Ia juga termasuk memperluas jaringan kolaborasi institusi dengan industri termasuk syarikat multinasional melalui kerjasama berimpak tinggi seperti program CEO Fakulti, Industri on Campus (IOC), Telent Enhancement Programme dan sebagainya,” kata Noraini.
Seterusnya, Noraini berkata, TVET menekankan aplikasi kemahiran bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu kemahiran menerusi amali bengkel atau makmal dan membangunkan inovasi projek tahun akhir yang berbentuk solution provider.
Beliau berkata, penyediaan program pengajian yang responsif dengan keperluan industri menerusi semakan dan penjajaran program pengajian dari semasa ke semasa agar pelajar sedia untuk masuk ke alam pekerjaan.
Menurunya, TVET memberi nilai tambah kepada pelajar menerusi program Finishing School yang melengkapkan Sijil atau Diploma mereka dengan pengiktirafan dan pentaulihan profesional daripada badan serta agensi yang diperakui.
“Ia mendedahkan pelajar kepada bidang keusahawanan seawal semester satu melalui Inkubator Keusahawanan di institusi dengan sokongan kementerian dan agensi luar.
“Selain itu, ia menggalakkan pelajar menceburi ekonomi gig dan menjadi pekerja bebas (freelancer) yang berjaya bagi menghadapi norma baharu pasaran kerja pasca COVID-19,” jelasnya.
Dalam perkembangan berbeza, Noraini berkata, pihaknya berdepan cabaran dalam memperkasakan industri TVET di negara ini khususnya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), amali dan praktikal kemahiran dalam suasana norma baharu COVID-19.
Noraini memaklumkan bahawa perkembangan pantas teknologi dan kaedah untuk berdepan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR) daripada aspek kesediaan pelajar, pensyarah, fasiliti, peruntukan, polisi dan pihak industri itu sendiri turut menjadi cabaran memperkasa TVET.
Beliau berkata, cabaran lain termasuklah mendapatkan kerjasama yang lebih lestari daripada pihak industri bagi membangunkan TVET serta mengubah persepsi masyarakat bahawa TVET kononnya adalah untuk yang gagal atau kurang cemerlang dalam akademik.
“Koordinasi yang lebih baik bagi pelbagai penyedia atau kementerian berkaitan TVET juga menjadi antara cabaran memperkasa bidang ini.
“Di samping itu, cabaran lain ialah pembiayaan lestari untuk pembangunan serta penyenggaraan institusi, kemudahan dan peralatan selain bagi membiayai pengajian pelajar di institusi TVET,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini menyarankan para pelajar yang ingin menceburi bidang TVET supaya mendapatkan maklumat secukupnya berkenaan laluan pengajian dan kerjaya agar matlamat yang ingin dicapai lebih jelas.
Beliau memgingatkan pelajar supaya melengkapkan diri bukan sahaja dengan kemahiran dalam bidang diceburi bahkan kompetensi lain yang juga penting.
“Ini termasuklah kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan subjek Bahasa Inggeris yang boleh membantu menyediakan diri sebagai pekerja yang cemerlang kelak.
“Selain itu, tanam minat dan sentiasa sanggup belajar perkara lain serta teknologi baharu selain bersedia untuk bertukar bidang bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta pasaran kerja,” ujarnya.