Pembinaan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit tepat pada masanya: Dr Hazland
KUCHING: Pembinaan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit di Kota Samarahan seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tepat pada masanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni berkata, pembinaannya dengan kos RM190 juta bukan sahaja akan menjadikan Sarawak sebagai Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit utama di Asia Tenggara.
Malah kata Dr Hazland, ia akan menjadi penyumbang kepada kesihatan sejagat dalam mencari penawar dan vaksin bagi penyakit berjangkit yang masih belum mempunyai vaksin.
“Penularan pandemik COVID-19 menyebabkan banyak negara maju di dunia berusaha mencari dan menghasilkan vaksin yang mana sehingga kini masih lagi dalam proses ujian dan belum dikomersialkan.
“Keadaan ini mendorong kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti penyelidikan penyakit berjangkit berdasarkan kepada kemampuan dan sumber yang ada di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Dr Hazland, hutan tropika Sarawak mempunyai banyak sumber asli semula jadi yang boleh diterokai dan diperkembangkan potensinya untuk menghasilkan vaksin kepada penyakit berjangkit.
Pelbagai spesies tumbuhtumbuhan yang mempunyai khasiat tinggi dipercayai ada di hutan tropika Sarawak dan pernah digunakan dalam perubatan tradisional yang boleh diterokai dan diperkembangkan penggunaannya.
Malah katanya, dianggarkan lebih 2,000 spesies tumbuh-tumbuhan semula jadi telah dikenal pasti mempunyai nilai perubatan dan berpotensi untuk dikomersialkan.
“Pusat penyelidikan ini juga dijangka akan menjadi platform terbaik bagi mengembangkan hasil penyelidikan saintis tempatan.
“Bersandarkan kepada teknologi terkini dan disokong dengan pengetahuan dan sumber asli yang banyak, Sarawak mampu menjadi pengeluar vaksin penyakit berjangkit terkemuka dunia dan diiktiraf antarabangsa,” katanya.
Lebih utama kata Dr Hazland, penghasilan vaksin ini akan memberi kelebihan kepada rakyat Sarawak dari segi harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.