SEDC fokus pengunjung tempatan jana pelancongan pasca-COVID-19
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam perancangan untuk memfokuskan kepada pengunjung tempatan dalam membantu menjana pendapatan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, ia susulan terdapat penurunan ketara di bawah 10 peratus bagi penginapan dan tarikan tempatan sektor pelancongan di negeri ini.
“Sudah tentu resort kita telah mendapat manfaat daripada pengunjung tempatan terutama sekali pada waktu hujung minggu.
“Justeru, SEDC akan menggandakan usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung tempatan untuk hotel dan resort di sekitar Kuching sejurus selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) yang dijangkakan tamat tengah malam ini (tengah malam tadi),” katanya pada sidang media Program ‘Walkabout with SEDC’ di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong semalam.
Beliau turut mendedahkan sebelum PKP dilaksanakan, sektor pelancongan mendapat pendapatan yang begitu baik daripada industri perhotelan, F&B dan resort dan ia dijangka pulih selepas tamat PKP.
Pada masa sama katanya, SEDC telah diberi mandat untuk menaik taraf Damai Lagoon dengan peruntukan daripada kerajaan negeri sekitar RM100 juta.
Bagaimanapun, jumlah berkenaan diharap akan ditambah daripada dana dalaman dan perbankan.
“Tetapi ini untuk peringkat pertama, pada peringkat kedua pembangunan Damai Lagoon melibatkan pangkalan khas kapal layar dan bot persiaran seumpamanya akan diputuskan kemudian,” jelasnya.
Katanya, antara inisiatif pembangunan dan kerja penambahbaikan yang dilakukan oleh SEDC tahun lalu termasuk kerja-kerja pengubahsuaian dan peningkatan untuk 239 bilik tamu dan koridor, bilik fungsi tingkat tiga dan kerja-kerja lain yang berkaitan di Puteri Wing di Hotel Riverside Majestic, Kuching.
Kerja-kerja serupa juga dilakukan di Grand Margherita Hotel dan kompleks beli-belah Sarawak Plaza, ruang legar Sunset Ballroom di Damai Beach Resort serta karya untuk Damai Lagoon Resort and Spa.
Buat masa ini tambahnya, seluruh kawasan Semenanjung Damai masih dalam kajian di dalam pelan induk yang akan selesai dalam tempoh setahun lagi dan kemudian akan diputuskan pembangunan tambahan yang diperlukan mengikut keperluan nanti.Pelan Induk berkenaan kata Abdul Aziz, bukan sahaja untuk SEDC tetapi manfaat untuk pemain lain dalam sektor pelancongan yang turut digalakkan memberi buah fikiran dalam pembangunan kawasan Semenanjung Damai.
Turut hadir Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Timbalannya Rakayah Hamdan, Pengarah THD Mark Ferguson dan Pengurus Besar SCV Jane Lian Labang.