Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk Sembulan Tengah rayu perkampung­an diwartakan

- Oleh Yap Siong Han

KOTA KINABALU: Penduduk Sembulan Tengah merayu kepada kerajaan kini untuk mempertimb­angkan kampung mereka untuk diwartakan sebagai sebuah perkampung­an.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kampung Sembulan Tengah Osman Omarkhan berkata, pihaknya sudah menghantar sebanyak 14 memorandum kepada kerajaan negeri tetapi semuanya gagal mendapat maklum balas.

“Perkara ini bukan baharu, masalah ini sudah disampaika­n oleh pemerintah terdahulu tetapi tidak dilayan, kini perkara sama juga berlaku.

“Kami hanya meminta perkampung­an kami diwartakan sepertiman­a perkampung­an di kawasan Sepanggar diwartakan baru-baru ini.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaik­an sebelum penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada minggu hadapan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, kawasan perkampung­an itu melibatkan tanah seluas 3.5 ekar sahaja, terdiri daripada 214 lot dan mempunyai sekurang-kurangnya 20,000 penduduk.

Katanya, kawasan berkenaan sudah diduduki oleh nenek moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu sejak pemerintah­an zaman British lagi.

“Kami mahu kerajaan yang ada tampil untuk berbincang dengan penduduk kampung yang menduduki lot tanah ini dan bukannya berbincang dengan pemaju.

“Kami terdiri daripada pelbagai bangsa di sini, ada penduduk Cina serta Bumiputera lain di sini. Tuntutan ini melibatkan Kg Sembulan Tengah, Kg Sembulan Lama dan Kg Sembulan Baru,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mendirikan Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini. Dengan adanya perumahan tersusun, sudah pasti segala kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, serta balai polis boleh dibina di sini.

“Keadaan ini sudah pasti mampu mengawal keadaan di sini seterusnya menjadikan kawasan ini sebagai sebuah perkampung­an tersusun,” katanya.

 ??  ?? RAYU: Osman (lima kiri) bersama antara penduduk Kg Sembulan yang lain merayu kepada kerajaan agar mewartakan perkampung­an mereka.
RAYU: Osman (lima kiri) bersama antara penduduk Kg Sembulan yang lain merayu kepada kerajaan agar mewartakan perkampung­an mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia