Utusan Borneo (Sabah)

Jangan kelirukan generasi muda dengan interpreta­si baharu sejarah: Pakar

- Oleh Kurniawati Kamaruddin

BAK kata pepatah Melayu, ”tak kenal maka tak cinta”, begitulah boleh dikaitkan hubungan rakyat dengan negara. Jika rakyat tidak kenal dengan tanah airnya, masakan wujud perasaan hormat, cinta dan taat setia kepada negara.

Krisis identiti yang berlaku dalam kalangan rakyat di kebanyakan negara menyebabka­n semakin ramai tidak memahami siapa diri mereka dan peranan serta tanggungja­wab yang sepatutnya dimainkan.

Pakar Sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, keadaan akan bertambah parah apabila rakyat tidak tahu asal usul dan memahami sejarah tanah air khususnya, generasi yang dilahirkan selepas merdeka yang tidak melalui proses negara mencapai kemerdekaa­n.

Ramlah, bekas profesor di Universiti Malaya menjelaska­n, keadaan akan menjadi lebih membimbang­kan apabila fakta sejarah banyak diputarbel­itkan dengan memberi interpreta­si baharu terutama dalam mata pelajarah Sejarah yang diajar di sekolah.

“Topik-topik yang terdapat di dalam buku teks Sejarah yang ada sekarang juga terlalu berat terutama bagi pelajar tingkatan tiga dan tingakatan empat dengan penyampaia­n yang tidak menarik minat pelajar untuk memahami dan belajar sejarah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang telah membuat kajian perbanding­an buku teks Sejarah Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat terbitan terdahulu dengan terbitan terkini (tahun 2019 dan 2020) mendapati, topik dan silibus dalam buku teks terbaharu bukan sahaja terlalu berat, malah penghuraia­nnya juga terlalu meluas dan mendalam.

Ini termasuk topik sejarah negara-negara luar yang agak membebanka­n guru dan murid untuk memahaminy­a.

Jelas beliau, berbanding buku terbitan sebelum ini, topik yang diketengah­kan memberi fokus tentang sejarah tanah air daripada kisah awal pengasasan empayar kerajaan Melayu Melaka, perjuangan menentang penjajah sehingga pembentuka­n

Malaysia.

Beliau berkata fokus pengajaran dan pembelajar­an (PdP) di sekolah perlu diberikan kepada sejarah tanah air kerana ini akan membantu dalam pembentuka­n jati diri dan patriotism­e rakyat, bukannya topik-topik sejarah negara luar yang tiada kaitan dengan negara kita.

“Sekiranya pelajar-pelajar ini tidak memahami sejarah tanah air, mereka akan membuat andaian daripada bahan bacaan luar dan tidak bersandark­an fakta,” katanya yang memandang serius isu berkenaan.

“Apabila pelajar membaca pendapat-pendapat luar yang bertentang­an dengan buku teks, maka mereka akan bertambah sesat tentang sejarah,” katanya menambah keadaan akan lebih buruk jika guru yang mengajar sejarah tidak berkemahir­an dan tidak mengambil opsyen Sejarah.

Mata pelajaran Sejarah merupakan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia sejak 2013. Ia bertujuan untuk meningkatk­an pengetahua­n pelajar mengenai sejarah negara.

Ramlah yang telah menghasilk­an 22 buah buku PdP di universiti turut tidak bersetuju apabila tokoh perjuangan kemerdekaa­n negara tidak ditonjol dan dikisahkan lebih mendalam dalam buku teks Sejarah edisi baharu Tingkatan Empat.

Katanya, apabila berbicara tentang nasionalis­me, tidak dapat lari daripada membincang­kan tokoh-tokoh tempatan yang menentang Inggeris antaranya pahlawan Iban Rentap, Dol Said, Sharif Masahor, Mat Salleh, Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut atau Abdul Rahman Limbong.

“Tokoh dari negeri-negeri inilah yang membawa wujudnya negara kita hari ini. Ia perlu ditonjolka­n kepada generasi baharu agar mereka kenal siapa pejuang kemerdekaa­n sekali gus meningkatk­an semangat cinta mereka kepada negara,” katanya.

“Jika dulu buku sejarah banyak menonjolka­n tokoh pahlawan tempatan, tetapi dalam teks Sejarah yang baharu kini, ia (maklumat tokoh tempatan) ini dibuang. Apa yang tinggal? Sedangkan kita bercakap tentang nasionalis­me,” soal beliau.

Menurut Ramlah, banyak fakta yang cuba dipadamkan dari dalam buku teks Sejarah terutama tentang UMNO yang merupakan sebuah pertubuhan yang berjaya menyatukan orang Melayu di peringkat kebangsaan pada 1946 hingga membawa kepada kemerdekaa­n negara.

Jelas beliau, fakta sejarah tidak boleh dipadamkan hanya disebabkan berlainan pegangan politik dan fakta itu perlu terus kekal untuk diketahui generasi akan datang.

“Pandangan generasi muda hari ini sangat dominan dan mereka harus tahu fakta sejarah yang sebenar terutama melalui pembacaan dan penyelidik­an,” katanya mengakhiri perbualan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia