Utusan Borneo (Sabah)

LDP sahkan tanding tujuh kerusi di Sandakan

-

SANDAKAN: Parti Liberal Demokratik (LDP) mengesahka­n akan bertanding sebanyak tujuh kerusi di Sandakan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang ini.

Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata, daripada tujuh kerusi berkenaan, tiga kerusi diletakkan untuk calon Cina iaitu di Karamuntin­g, Elopura dan Tanjong Papat.

Katanya, empat kerusi lagi termasuk Sekong, Sungai Manila, Gum Gum, dan Sungai Sibuga untuk calon Bumiputera.

Menurutnya, pemilihan kesemua calon yang bakal bertanding akan dibuat oleh Presiden Seumur Hidup LDP Tan Sri Chong Kah Kiat.

Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan dengan pemimpin tempatan dan pengundi dari kawasan Sekong, Sungai Manila, Gum Gum, dan Sungai Sibuga bersama Chong di sini barubaru ini.

Chin berkata, Chong kini dalam usaha mengumpul maklum balas dan cadangan daripada pemimpin akar umbi dan pengundi di kawasan pantai timur sebagai persediaan menghadapi PRN pada 26 September ini.

Dalam pertemuan itu, Chin turut berkongsi mengenai hala tuju, matlamat dan aspirasi yang dibawa LDP dalam PRN kali ini.

“Dalam perlembaga­an LDP, keahlian parti bukan hanya untuk satu kaum sahaja malah, ia terbuka untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

“Justeru, saya ingin tekankan LDP adalah sebuah parti yang berbilang kaum yang akan memperjuan­gkan nasib rakyat Sabah secara keseluruha­n,” katanya.

Beliau berkata, dalam PRN kali ini, di bawah pimpinan Chong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, pihaknya memiliki keyakinan penuh atas kredibilit­i dan kepimpinan­nya dalam mengemudi jentera pilihan raya parti.

Menurutnya, pencapaian dan sumbangan Chong kepada Sabah khususnya dari aspek pembanguna­n, pelanconga­n, dan pengusiran pendatang tanpa izin (PTI) dilihat mampu memberi sinar baharu kepada rakyat Sabah. Ia sekali gus menjadikan LDP kekuatan ketiga dalam PRN ini.

Selain itu jelasnya, penting bagi rakyat Sabah bersatu dan menyokong parti tempatan Sabah yang memiliki rekod yang baik dan bersih untuk memimpin negeri ini.

Katanya, sebagai contoh negeri Sarawak tidak membenarka­n mana-mana parti dari Semenanjun­g mahupun parti di Sabah untuk bertapak di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau melihat langkah berkenaan memberikan Sarawak kekuatan yang luar biasa untuk menuntut hak-hak yang sepatutnya untuk negeri mereka.

“Saya percaya dan yakin rakyat Sabah keseluruha­nnya bijak menilai dan memilih pemimpin yang benar-benar akan berkhidmat untuk kepentinga­n rakyat negeri ini tanpa sebarang agenda peribadi atau menjadikan Sabah sebagai tabung simpanan mereka.

“Beri LDP peluang membuktika­n keupayaan kami untuk berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat Sabah dan menjadi parti alternatif yang terbaik untuk dipilih dalam PRN ini,” katanya.

 ??  ?? PERJUMPAAN: Chin ketika berucap semasa majlis perjumpaan bersama pemimpin dan pengundi tempatan.
PERJUMPAAN: Chin ketika berucap semasa majlis perjumpaan bersama pemimpin dan pengundi tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia