Pasar Tamu Betong yang baharu mula dibuka
BETONG: Bermula 1 Ogos, Pasar Tamu Betong yang baharu mula dibuka untuk memberi kemudahan kepada penduduk Betong dengan lebih selesa.
Meskipun perancangan asal dibuka pertengahan September berikutan pandemik COVID-19 namun pelaksanaan teliti membolehkan ia dapat digunakan lebih awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu memuji kesediaan dan persiapan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi komitmen jitu sehingga pasar tamu baharu itu dapat beroperasi.
“Dengan pembukaan Pasar Tamu Betong yang baharu ini, kita dapat menempatkan penjaja-penjaja yang tidak ada tempat khas di tapak lama.
“Saya benar-benar berharap penjaja dapat memanfaatkan ruang diberikan dengan seoptimum mungkin dan menggunakan peluang diberikan berusaha menyediakan jualan masing-masing.
“Pada masa sama tapak disediakan dapat menjadi tempat mereka mencari rezeki dan menjadi tarikan baharu di Betong,” katanya menerusi WhatsApp berhubung operasi Pasar Tamu Betong semalam.
Menurutnya, walaupun hanya 96 tapak meja disediakan penjaja namun ruang lebih banyak diperlukan kerana lebih dari jumlah tersebut penjaja yang berminat berniaga.
“Bagaimanapun kita bersama Majlis Daerah Betong (MDB) akan berusaha menempatkan mereka kekal berniaga setiap hari. Kita juga berusaha mengagihkan tempat berniaga hujung minggu.
“Pada masa cabaran wabak COVID-19 ini, saya juga ingin mengingatkan supaya prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan dikeluarkan dipatuhi,” jelasnya.
Rentap berkata, untuk memastikan keadaan sentiasa selamat semua pihak perlu menjaga kesihatan dan kebersihan agar dijauhi daripada sebarang penyakit.
“Saya mohon semua warga Betong mengamalkan sikap kesedaran tinggi supaya menjaga kelestarian bandar Betong,” katanya.