Calon PRK Chini kempen dalam normal baharu
PEKAN: Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, kesemua calon dilihat memulakan hari mereka dalam suasana negara masih berdepan ancaman COVID-19, yang menyaksikan kempen kali ini tidak sama seperti PRK atau pilihan raya lain.
Jika dahulu bentuk kempen adalah berjumpa pengundi dan bersalaman selain beramah mesra namun normal baharu perlu diterapkan pada PRK kali ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang merupakan antara usaha mencegah COVID-19.
Pengenalan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi urusan pelaksanaan PRK Chini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan ketiga-tiga calon terpaksa berkempen menggunakan pendekatan lebih sederhana bagi menyantuni para pengundi.
Mengakui pendekatan PRK kali ini sedikit berbeza, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, berkata pihaknya terpaksa mengubah dan menambah baik jadual kempen agar selari dengan kehendak SOP SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Walaupun Chini adalah zon hijau COVID-19, kita tetap akur mematuhi SOP dengan membuat kawalan mengambil suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman serta menyediakan pelitup muka,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melakukan jelajah mesra di sekitar Bandar Dara Chini dengan ditemani dua penyokongnya.
Sementara itu, calon BEBAS Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, berkata beliau sedikit kekok dengan pelaksanaan SOP berkempen yang ditetapkan SPR namun semakin dapat membiasakan diri.
Dalam sesi jelajah mesra calon yang menggunakan simbol rumah itu, beliau dilihat begitu menjaga penjarakan sosiaal dan mematuhi syarat tiga wakil semasa lawatan dari rumah ke rumah ketika bertemu masyarakat di DUN itu.
Sabtu lepas, SPR memutuskan beberapa pindaan terhadap SOP khas untuk PRK DUN Chini, antaranya memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satusatu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja mengikut kesesuaian lokasi, selain memastikan pematuhan peraturan sedia dan SOP yang ditetapkan.
Seorang lagi calon BEBAS iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, pula tiada masalah untuk mematuhi SOP bagi PRK itu kerana sebagai seorang penulis blog, beliau sudah sekian lama menggunakan platform dalam talian.
Calon yang menggunakan simbol kunci itu berkata beliau akan turut memanfaatkan siaran radio dalam talian menerusi laman sosial Facebook menggunakan nama CMKFM bagi menyampaikan maklumat kempennya dalam PRK itu.
“Saya rasa tak ada masalah untuk patuhi SOP ini. Mungkin normal baharu ini menyebabkan orang lain alami kesukaran, tapi saya sudah biasa guna platform online,” katanya. — Bernama