Lamin Dana lokasi penggambaran filem ‘Sumpahan Jerunei’
PEMILIHAN Lamin Dana sebagai salah satu set atau lokasi penggambaran ‘Sumpahan Jerunei’ iaitu sebuah filem di bawah Produksi Seni 2020 dilihat satu langkah tepat dalam mengambalikan suasana purba atau silam khususnya bagi suku kaum Melanau suatu ketika dahulu.
Lamin Dana merupakan salah sebuah contoh yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri tradisi kaum berkenaan yang terletak di Kampung Tellian, Mukah.
Pemiliknya, Diana Rose tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya kerana rumah itu akhirnya turut menjadi salah satu faktor pendokong kepada kejayaan filem itu yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
Beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Korban yang lalu, krew penggambaran filem itu telah mula tiba dan berkampung di Mukah untuk menjalankan penggambaran filem berkenaan.
“Saya melihatkan ini sebagai peluang yang baik untuk mengetengahkan kehadiran suku kaum Melanau dan budaya orang Melanau melalui sejarah silamnya.
“Selain itu ia juga boleh menaikkan lagi nama Mukah dan pemilihan Lamin Dana sebagai salah satu lokasi untuk memantapkan cerita ini amatlah strategik sekali dari segi strategi pemasaran,” katanya kepada Utusan Borneo.
Lamin Dana digunakan selama lima hari sebagai salah satu lokasi untuk menyiapkan semua babak diperlukan dalam filem.
Diana pada masa sama memberitau, Lamin Dana merupakan sesuatu elemen yang penting dalam Sumpahan Jerunei kerana ia merupakan rumah Milik Orang Kaya dan ketua Kaum bernama Madui, watak protagonis dalam cerita ini.
“Seluruh ruang bawah Lamin Dana dan persekitarannya telah digunakan untuk perfileman,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Diana yang juga salah seorang budayawanis Melanau turut menerangkan apa sebenarnya dimaksudkan dengan Jerunei, sedikit sejarah dan kepentingannya bagi masyarakat Melanau.
“Jerunei ialah ‘burial pole’ (tiang pengkebumian) untuk golongan bangsawan Melanau.
“Upacara dan simboliknya agak berlainan daripada ‘kelirieng’ Orang Ulu walaupun konsep untuk memperingati orang mati adalah sama,” ulasnya lagi.
Jerunei terakhir katanya didirikan kemungkinan pada 1890-an.
Bagaimanapun, acara pengkebumian terbuka dan praktis memiliki hamba abdi telah terlebih lama awal dihapuskan oleh kerajaan di bawah pemerintahan Brooke.
Perkara itu katanya telah digazetkan sebagai satu undang-undang pada tahun 1864.
Mukah telah menjadi salah satu kawasan jajahan Brooke di mana sebelumnya ia berada dalam jajahan kerajaan Brunei pada 1860.