Kerajaan Selangor sedia RM1.6 juta bantu baiki rumah rosak akibat ribut
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan dana RM1.6 juta untuk membantu penduduk di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor membaiki rumah mereka yang rosak akibat kejadian ribut Sabtu lepas.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata sebanyak 509 rumah dikenal pasti terjejas akibat fenomena alam itu namun 100 daripadanya masih dinilai kadar sebenar kerosakannya.
Kita sudah membuat hitung kira dan kita akan bantu perbaiki mengikut kadar kerosakan. Ada kerosakan (rumah) itu minimum, ada kerosakan yang kritikal dan sebagainya.
Jumlah peruntukan itu adalah gabungan dana daripada kerajaan negeri dan agensi terlibat seperti Lembaga Zakat Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selebihnya akan dibiayai oleh Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI Selangor) menerusi dana tanggungjawab sosial korporat mereka, katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, di sini semalam.
Tambah beliau, buat masa ini, masih terdapat beberapa proses lagi yang perlu diselesaikan sebelum menyalurkan peruntukan membaiki rumah terjejas itu namun memberi jaminan, ia akan dilakukan secepat mungkin.
Ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat memohon bantuan tenaga kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pasukan beruniform lain untuk membantu membaiki rumah-rumah yang rosak itu, Amirudin menyatakan ia bergantung kepada keadaan sama ada perlu dilakukan secara segera atau tidak.
Pada Sabtu lepas, ratusan kediaman di sekitar dua daerah itu termasuk di kawasan Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjong Karang dilaporkan telah rosak teruk akibat ribut berkenaan.
Susulan itu, kerajaan negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada keluarga yang terjejas melalui pejabat daerah dan tanah di kedua-dua lokasi berkenaan.-Bernama