Kasut Nike Air Force 1 didakwa ‘cetak rompak’ reka bentuk tradisional kaum peribumi Panama
BANDAR RAYA PANAMA: Syarikat pakaian sukan gergasi dari Amerika Syarikat (AS) Nike kelmarin berkata ia akan menarik balik kasut terbaharunya selepas kaum peribumi Guna di Panama menuduhnya “mencetak rompak” satu reka bentuk tradisional yang terlindung.
Peguam bagi kaum Guna berkata kasut model Air Force 1 edisi khas itu memaparkan reka bentuk ‘mola’ tradisional tanpa kebenaran mereka, yang melanggar hak harta intelek mereka.
Mereka juga menuntut agar syarikat itu membatalkan rancanganuntukmelancarkan kasut berharga AS$100 (RM400) itu pada 6 Jun.
Selepas dihubungi AFP, seorang jurucakap Nike berkata: “Kami memohon maaf di atas gambaran tidak tepat bagi asal usul reka bentuk kasut Nike Air Force 1 ‘Puerto Rico’ 2019. Maka itu, produk ini tidak akan lagi disediakan.”
Peguam berbangsa Guna, Aresio Valiente, memberitahu AFP kaum peribumi itu tidak sekadar mahukan pengunduran produk tersebut, tetapi juga ganti rugi kerana kasut itu “adalah sebahagian daripada kerohanian kaum Guna”.
“Maka itu syarikat itu perlu membayar ganti rugi kepada kami kerana ia adalah salinan reka bentuk kami yang menyalahi undangundang,” kata Valiente, yang menambah mereka “sudah menghantar nota bantahan” kepada Nike.
Laman sesawang industri Sneaker News melaporkan Nike berkata reka bentuk itu merupakan satu penghormatan kepada Puerto Rico dan memaparkan grafik yang melambangkan katak tem-patan Coqui.
Bagaimanapun ketua kaum Guna, Belisario Lopez, memberitahu satu sidang akhbar di Bandar raya Panama: “Mereka mesti menyedari bahawa ‘mola’ yang dipaparkan pada kasut Nike adalah daripada kaum Guna.”
Lopez berkata kes kaum Guna terhadap Nike “bukan satu-satunya kes di dunia. Ribuan reka bentuk dan pengetahuan pusaka kaum peribumi sedang dicetak rompak oleh syarikat multinasional”.
Kaum Guna tinggal dalam komuniti di Panama dan Colombia. Kebanyakan orang Guna tinggal di Kuna Yala, juga dikenali sebagai Kepulauan San Blas, di perairan Caribbean di luar pantai Panama.
Aktivis alam sekitar berkata pulau-pulau rendah itu diancam laut yang semakin naik kerana pemanasan bumi.
“‘Mola’ umpama bendera bagi kaum Guna. Sebenarnya terdapat identiti kebudayaan yang jelas di sekitar ‘mola’. Ia merupakan elemen identiti yang sangat kuat,” kata Monica Martinez, profesor antropologi sosial di Barcelona University yang sudah mengkaji kaum Guna hampir selama dua dekad. — AFP