Utusan Borneo (Sabah)

Saint-Etienne terlepas peluang pintas Lyon

-

PARIS: Saint-Etienne melepaskan peluang untuk memintas Lyon dalam Ligue 1 pada Jumaat apabila siri tanpa kalah mereka ditamatkan dalam kekalahan 1-0 kepada Montpellie­r di stadium sendiri.

Saint-Etienne telah mensasari penampilan sulung dalam Liga JuaraJuara dan berpeluang untuk menduduki tempat ketiga di hadapan Lyon yang menghadapi perlawanan sukar menentang Marseille pada malam ini (Ahad).

Namun Remy Cabella, yang membantu Montpellie­r memenangi kejuaraan pada 2012 dan memastikan mereka terus bermain dalam liga utama pada 2017 sebelum dia menyertai Saint-Etienne, menangis apabila dia dibuang dari padang sejurus selepas minit ke-60 dan kemudian menonton perlawanan dari terowong apabila pasukan pelawat menyumbat gol menerusi rembatan kaki kiri yang kencang oleh Gaetan Laborde.

Jaringan itu dibuat pada minit ke-64 ketika perlawanan semakin tegang di stadium Saint-Etienne yang hangat seperti biasa dengan kad merah dilayangka­n kepada kedua-dua pasukan, diikuti dengan cepat oleh gol kemenangan berkenaan.

Paris Saint-Germain menduduki tempat teratas dalam Ligue 1 dengan 85 mata, Lille menduduki tempat kedua dengan 69 mata, Lyon di tempat ketiga dengan 63 mata, dan Saint-Etienne di tempat keempat dengan 62 mata selepas bermain lebih satu perlawanan.

Saint-Etienne, yang memenangi enam dan seri dalam satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka, merupakan kelab paling berjaya di Perancis dengan 10 kejuaraan liga dan enam Piala Perancis tetapi piala utama terakhir mereka dimenangi pada 1981, apabila – diketuai Michel Platini – mereka kali terakhir menamatkan kempen di tempat teratas liga.

Dalam perkembang­an lain pada Jumaat, Brest naik ke Ligue 1 ekoran kemenangan 3-0 di Niort, dan akan menyertai Metz, yang sudah dijamin kenaikan, dalam liga utama pada musim akan datang.

Pihak berkuasa juga memaklumka­n pada Jumaat bahawa hari terakhir bagi aksi Ligue 1 akan diawalkan dari Sabtu, 25 Mei, ke petang Jumaat untuk mengelak pertembung­an dengan demonstras­i yang mungkin akan dilancarka­n oleh kumpulan yang dipanggil ‘Yellow Vests’. – AFP

 ?? - Gambar AFP ?? PEMAIN pertahanan Saint-Etienne Mathieu Debuchy (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan pemain Montpellie­r Ambroise Oyongo.
- Gambar AFP PEMAIN pertahanan Saint-Etienne Mathieu Debuchy (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan pemain Montpellie­r Ambroise Oyongo.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia