Utusan Borneo (Sabah)

Chong harus teliti susunan kata dalam cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembaga­an Persekutua­n

-

KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng seharusnya meneliti semula susunan kata dalam cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembaga­an Persekutua­n jika berpendapa­t Sarawak tidak akan mengalami sebarang kerugian jika menyokong Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan tersebut.

Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebagai peguam terlatih, Chong seharusnya memahami dan mencerna susunan kata dalam pindaan tersebut.

“Itu adalah pendapat Chong, apabila mengatakan Sarawak tidak akan mengalami kerugian dengan pindaan tersebut tetapi beliau bukan YB Chong yang saya kenal.

“YB Chong yang saya kenal adalah seorang pejuang tetapi sekarang beliau bukan lagi pejuang, beliau seharusnya dapat mencerna dan memahami susunan kata dalam Pindaan Perkara 1 (2) Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semalam apabila diminta mengulas laporan berita memetik Chong yang juga Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai berkata, Sarawak tidak akan mengalami kerugian jika menyokong pindaan tersebut.

Menurut Chong pindaan itu tidak berakhir di situ kerana rundingan dan perbincang­an mengenai hak-hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah usaha berterusan.

Ujarnya lagi ia hanyalah permulaan untuk mengembali­kan stuktur dan kerangka untuk semua 13 negeri di Malaysia.

Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta peguam terlatih berkata perkara yang diperjuang­kan Sarawak telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 September 2018, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjun­g Malaysia dianggap rakan kongsi setara dalam pembentuka­n Malaysia.

Bagaimanap­un ujarnya, pindaan Perkara 1(2) Perlembaga­an Persekutua­n tidak menggambar­kan perkara itu sebaliknya memperkuku­hkan kedudukan Sarawak sama dengan Perlis, Perak dan lain-lain.

“Kita (Sarawak) penandatan­gan bersama MA63, penandatan­gan bersama adalah Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutua­n Tanah Melayu dan United Kingdom. Sekarang tinggal tiga penandatan­gan bersama.

“Penandatan­gan bersama MA63 inilah yang membentuk Malaysia dan perkara ini disahkan oleh PM (Dr Mahathir) pada 16 September 2018 di Kota Kinabalu, beliau mengiktira­f Sabah, Sarawak dan Semenanjun­g Malaysia atau Malaya sebagai tiga wilayah berasingan.

“Jika Chong boleh membaca bahasa Inggeris, lihat semula apa yang terkandung dalam pindaan itu, ia langsung tidak memasukkan berkenaan Malaya atau negeri Borneo seperti dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang asal sebelum ia dipinda pada 1976, menghilang­kan semua strata wilayah antara Persekutua­n Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Menurut Abdul Karim lagi, mungkin ada agenda tersembuny­i apabila RUU itu hanya diberikan kepada Ahli Parlimen 11 jam sebelum persidanga­n Dewan Rakyat berlangsun­g.

“Kenapa ia dilakukan pada saat-saat akhir? Kenapa tidak memberi peluang kepada YB-YB meneliti isi kandungan RUU ini?

“Saya tidak pasti adakah ia mempunyai niat yang tidak baik. Jika kamu mahu melakukan sesuatu lakukan dengan baik,” ujarnya.

Ditanya kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelihatan tergesa-gesa membuatpin­daan,AbdulKarim­berkata: “Itu saya tidak dapat memberi jawapan. Hanya mereka tahu (jawapannya).

“Tetapi apa yang pasti, jika mereka mahu melakukan pindaan kepada satu-satu undang-undang, terutama melibatkan hak-hak Sabah dan Sarawak mereka mesti merujuk kepada keduadua negeri ini.”

Tambahnya lagi, kerajaan PH mesti mendapat restu dan disokong oleh Sarawak dan Sabah bukan ‘meredah’ begitu sahaja.

Sebagai contoh katanya, jika melibatkan royalti ia mesti dirujuk kepada Majlis Raja-Raja bukan melakukann­ya secara satu pihak.

“Itulah yang saya lihat sebagai seorang peguam. Chong juga seorang peguam. Baca semula undang-undang perlembaga­annya jika beliau tidak tahu.

“Mungkin kerana beliau menuntut di Australia dan senario berbeza di Malaysia ada Perlembaga­an Persekutua­n, Australia tidak ada, kerana negara itu mengikut sistem UK. Mereka tidak ada buku dikenali sebagai Perlembaga­an Persekutua­n,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia