Utusan Borneo (Sabah)

Boustead jual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada RM197 juta

-

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (BHB), yang menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang di Kuala Lumpur kepada Hotel Royal Ltd, syarikat yang disenaraik­an di Singapura dengan nilai RM197 juta secara tunai, dijangka mencapai keuntungan dianggarka­n sebanyak RM92 juta apabila selesai langkah tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, BHB berkata ini menyumbang kepada 4.5 sen sesaham.

Anak syarikat tidak langsung BHB, Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd kelmarin menandatan­gani perjanjian untuk menjual 418 bilik hotel bertaraf empat bintang kepada anak syarikat Hotel Royal, Every Room A Home Sdn Bhd.

Jurucakap BHB dalam kenyataan kelmarin berkata penjualan hotel itu merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruha­n kumpulan Boustead untuk kembali mencatat keuntungan dengan cara menjual aset bukan strategik.

Hotel tersebut yang terletak di Jalan Conlay, menghadapi persaingan sengit di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur termasuk daripada platform dalam talian seperti Airbnb. Persaingan itu mengakibat­kan kadar penghunian­nya rendah sebanyak 52 peratus pada 2018 berbanding kadar purata penginapan hotel di Lembah Klang yang mencatatka­n kirakira 74 peratus, kata BHB.

BHB berkata kerja-kerja pengubahsu­aian juga diperlukan untuk hartanah yang telah berusia itu untuk kekal menarik dan berdaya saing.

Mengambil kira prospek untuk menguruska­n hotel tersebut, penjualan itu menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada kumpulan tersebut.

Lokasi strategik Hotel Royale Chulan Bukit Bintang membolehka­n kumpulan itu menjual hotel tersebut pada nilai premium berbanding nilai penetapan bersih, kata BHB.

Cadangan penjualan itu, bagaimanap­un bersyarat, antaranya pembeli mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan kelulusan daripada Jawatankua­sa Kerja Tanah Wilayah Persekutua­n serta memenuhi semua syarat dan keperluan penyenarai­an yang ditetapkan oleh Singapore Exchange Securities Trading Ltd.

Cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang Julai 2019. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia