Utusan Borneo (Sabah)

AADK tempuhi pelbagai dugaan dalam operasi kesan penagih

-

MIRI: Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terpaksa bertindak masuk melalui tingkap yang tidak berkunci untuk mengesan penagih dadah selepas penghuni rumah enggan membuka pintu.

Itu yang berlaku apabila ada penghuni rumah seakan-akan tahu kehadiran pihak berkuasa lalu bertindak menyembuny­ikan diri dan tidak membuka pintu ketika diarahkan AADK.

Malah, ada juga ibu bapa dan isteri suspek cuba bersekongk­ol dengan menyembuny­ikan kegiatan anak atau suami yang terlibat mengambil dadah terlarang itu.

Menurut Ketua Cawangan AADK Miri Mazlan Jikran berkata inilah yang terpaksa dihadapi oleh pihaknya dalam Operasi Cegah One Stop Committee (OSC) yang dijalankan AADK bersama Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) di Bekenu dan Miri awal pagi Jumaat.

Serbuan yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi itu berjaya menahan kesemuanya 13 individu berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun yang didapati positif dadah.

“Di Bekenu kami menahan seramai sembilan orang lelaki di Kampung Tiris, Kampung Subak dan Kampung Keluru Tengah.

“Manakala serbuan di Taman Tunku dan Kampung Lembah Hijau di Miri pula berjaya menahan seramai empat orang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita serta diantara mereka ini adalah pasangan suami isteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini pada Jumaat.

Mazlan berkata, secara keseluruha­nnya operasi berjalan dengan lancar dengan kesemua suspek memberi kerjasama.

“Ada juga kejadian apabila penghuni rumah seakan tahu kehadiran AADK jadi mereka tidak mahu buka pintu, maka kami terpaksa masuk melalui tingkap yang tidak berkunci.

“Selain itu, ada juga yang cuba menafikan anak atau suami tidak main dadah tetapi apabila dibuat ujian saringan awal air kencing didapati urin positif dadah,” ujarnya.

Di samping itu, Mazlan berkata serbuan kali ini juga menyaksika­n ada keluarga yang merayu agar anak mereka untuk cepat dihantar ke pusat pemulihan.

“Disebabkan pengaruh dadah, ada penagih yang sanggup mengugut bunuh, membakar rumah, meminta duit hari-hari, mengancam keselamata­n dengan membawa senjata tajam, menjual barang rumah dan macam-macam lagi,” tegasnya.

13 suspek terlibat kini ditahan dibawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

 ??  ?? SEMBILAN suspek lelaki yang berjaya ditahan dalam serbuan rumah di tiga buah kampung di Bekenu.
SEMBILAN suspek lelaki yang berjaya ditahan dalam serbuan rumah di tiga buah kampung di Bekenu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia