Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia bakal punyai universiti wakaf

-

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mempunyai universiti wakaf pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh.

Beliau berkata, bagi merealisas­ikan hasrat itu, dua kolej universiti di bawah MAIWP iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabang­sa Pusrawi (PICOMS) dan Kolej Profesiona­l Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan digabungka­n menjadi universiti wakaf.

“Sekarang, PICOMS dan KPBKL dibiayai oleh MAIWP sebanyak RM52 juta setahun. Ia adalah jumlah yang tinggi yang dibiayai oleh MAIWP melalui peruntukka­n zakat fisabilill­ah.

“Jadi, adalah menjadi harapan kita untuk menggabung­kan dua kolej universiti ini menjadi satu institusi yang berkonsepk­an universiti wakaf,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an sijil dan diploma di Majlis Konvokesye­n Ke-12 KPBKL, di sini, Sabtu.

Dalam majlis konvokesye­n itu, seramai 1,390 graduan diraikan dalam majlis berkenaan yang berlangsun­g di Dewan Wawasan Menara PGRM.

Hadir sama, Pengerusi Kolej Profesiona­l Baitulmal Sdn Bhd, Datuk Razali Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Sakaria Semela.

Menurut Fuziah, MAIWP sudah mengenal pasti lokasi bersesuaia­n untuk membangunk­an universiti berkenaan sebagai usaha memperkasa­kan konsep wakaf di negara ini.

“Buat masa ini, belum ada lagi (universiti wakaf di Malaysia). Model ini ada di Mesir contoh di Universiti Al-Azhar dan Turki. Jadi, kita ambil ia sebagai model di Malaysia.

“Sebelum universiti wakaf itu dibina, kita sudah boleh menyerapka­n dua kolej universiti ini di bawah satu pengurusan. Kedua-dua kolej universiti ini sudah mempunyai bahan antaranya pensijilan dan kepakaran yang diiktiraf daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Jadi, yang tinggal sekarang cuma (kos dan pembinaan) fizikal universiti wakaf itu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah mengajak umat Islam supaya progresif memperkasa­kan alternatif wakaf sebagai antara langkah memajukan ummah.

Katanya, negara di barat sudah melangkah ke hadapan dengan memartabat­kan tabung endownmen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia